Tiga hari terkunci di tandas, wanita Thai bertahan hidup dengan air paip

Agensi
September 4, 2022 13:36 MYT
Tanpa makanan dan minuman, wanita itu bertahan hanya dengan minum air paip. - Gambar hiasan/Unsplash
BANGKOK: Tinggal di rumah sendiri memang menyeronokkan, apatah lagi sendiri. Ternyata ada privasi sendiri mendatangkan kelebihan. Namun ada juga kekurangan jika tinggal berseorangan.
Itulah kejadian ngeri yang menimpa seorang wanita yang tinggal di Bangkok, Thailand pada 22 Ogos lalu apabila terperangkap di dalam bilik mandi selama tiga hari. Wanita berusia 54 tahun itu gagal keluar dari bilik mandi walaupun telah mencuba pelbagai cara, lapor media tempatan.
Lebih malang lagi apabila dia tidak membawa telefon bimbitnya bersama. Tanpa makanan dan minuman, wanita itu bertahan hanya dengan minum air paip.
Selepas tiga hari terkunci, wanita itu meninggalkan pesanan terakhir yang ditulis di bahagian dinding bilik mandi menggunakan pembersih muka.
“Saya minum air paip untuk bertahan. Tanpa air, saya akan mati. Pelbagai cara untuk saya keluar dari sini namun tidak berjaya malah saya cuba menjerit tetapi tidak didengari,” tulisnya.
Ketika menunggu saat ‘kematian’, nasib baik menyebelahinya apabila diselamatkan oleh pihak berkuasa. Ini kerana panggilan dari anak saudaranya yang tidak berjawab berhari-hari membuatkan dia risau jika sesuatu menimpa ibu saudaranya itu .
Pihak polis berjaya memecahkan pintu bilik air selepas cubaan memanggil wanita malang itu tidak disahut.
Wanita itu kemudian dikejarkan segera ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini stabil selepas dirawat. -- Agensi
#Bangkok #bilik air #terperangkap #Minum air paip
;