Tiga ditahan buang vaksin COVID-19 dalam saluran air

Astro Awani
Oktober 11, 2021 10:05 MYT
Pendakwa raya Mesir mengarahkan penangkapan tiga individu selepas ribuan vaksin COVID-19 yang belum digunakan ditemukan di dalam saluran air. - Gambar hiasan
KAHERAH: Pendakwa raya Mesir mengarahkan penangkapan tiga individu selepas ribuan vaksin COVID-19 yang belum digunakan ditemukan di dalam saluran air.
Dilaporkan vaksin tersebut telah dipindahkan ke Direktorat Kesihatan di bandar Minya, selatan Kaherah di mana 18,400 pakej vaksin dengan nilai 5 juta pound Mesir didapati hilang.
Laporan menyebut hampir 5,000 pakej lagi rosak kerana tidak disimpan pada suhu yang betul.
Kenyataan pendakwa raya Mesir itu tidak memperincikan jumlah dos namun vaksin tersebut dikatakan jenis Sinopharm keluaran China.
Beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan timbunan kotak putih bertaburan di tebing saluran air di Wilayah Bani Mazar, utara Minya.
Vaksin yang dibuang itu dilaporkan hilang selepas seorang ahli farmasi yang diberi kuasa menyerahkan kepada pemandu kenderaan Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke Direktorat Kesihatan Minya.
Ahli farmasi dan seorang pegawai di depoh Direktorat Kesihatan dipertanggungjawabkan atas kesalahan kecuaian dan mereka ditahan bersama pemandu kenderaan yang membawa vaksin itu.
Mesir menyasarkan 40 juta penduduknya untuk divaksinasi menjelang akhir tahun ini.
#COVID-19 #Sinopharm #saluran air #buang vaksin
;