Tiga cedera kejadian tembakan di lapangan terbang Atlanta

Astro Awani
November 21, 2021 09:00 MYT
Lapangan Terbang Hartsfield-Jackson ketika ini sesak dengan penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Kesyukuran. - Foto Instagram/@atlairport
Sekurang-kurangnya tiga cedera dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Menurut Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) dalam satu kenyataan kejadian berlaku pada 1.30 petang waktu tempatan.
"Keadaan telah berjaya dikawal dan kesemua pesawat telah kembali beroperasi.
"Laporan awal menyatakan tiga orang cedera ringan dalam insiden terbabit," kata kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati seorang petugas di lapangan terbang terjumpa senjata terbabit ketika melakukan pemeriksaan ke atas bagasi seorang penumpang.
Apabila penumpang tersebut ingin merampas senjata berkenaan, dia dengan tidak sengaja melepaskan tembakan.
Jurucakap lapangan terbang, Andrew Gobeil memberitahu CNN, penumpang itu melarikan diri sejurus kejadian dan ketika ini mereka sedang menjejaki penumpang berkenaan.
Lapangan Terbang Hartsfield-Jackson ketika ini sesak dengan penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Kesyukuran.
#cedera #tembakan #lapangan terbang #Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson
;