Tiga calon bertanding untuk jawatan Presiden Sri Lanka

Bernama
Julai 19, 2022 18:50 MYT
Pemangku Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe sebelum ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara berkuatkuasa Isnin.- AP
COLOMBO: Pemangku Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe, ahli parlimen daripada parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) Dullas Alahapperuma, dan pemimpin National People's Power (NPP) Anura Kumara Dissanayake dicalonkan untuk jawatan presiden pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Parlimen akan bermesyuarat pada pagi Rabu dan memilih presiden baharu Sri Lanka.
Terdahulu pada Selasa, ketua pembangkang Sajith Premadasa, yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, mengumumkan akan menarik balik pencalonannya.
Beliau berkata partinya Samagi Jana Balawegaya (SJB) akan menyokong Alahapperuma dalam undian untuk presiden Sri Lanka seterusnya.
Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan sebagai presiden dan meninggalkan negara itu minggu lalu berikutan bantahan besar-besaran.
Susulan peletakan jawatan itu, Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardena mengumumkan bahawa Wickremesinghe, yang merupakan perdana menteri ketika itu, dilantik sebagai pemangku presiden, dan ahli parlimen akan berpeluang mengundi presiden baharu pada Rabu (20 Julai).
--BERNAMA
#Sri Lanka #jawatan presiden #krisis ekonomi #Ranil Wickremesinghe
;