Tiga angkasawan selamat mendarat di Bumi selepas lengkapkan misi di ISS

Agensi
Jun 18, 2016 20:57 MYT
Tiga angkasawan ini segera diperiksa oleh pasukan perubatan sejurus di keluarkan dari kaspul Soyuz yang selamat mendarat di hamparan datar Kazakhstan. - Foto AFP
Tiga angkasawan selamat mendarat di Bumi pada Sabtu selepas melengkapkan misi enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Tim Peake, yang merupakan angkasawan British pertama ke ISS, Yury Malenchenko dari Rusia dan Tim Kopra dari NASA mendarat dalam kapsul Soyuz dengan payung terjun ke hamparan datar Kazakhstan pada jam 9.15 pagi selepas 186 hari berada di orbit.
Rakaman video dari lokasi pendaratan di bandar Zhezkazgan itu menunjukkan pasukan perubatan segera memeriksa trio tersebut.
“Ia sangat hebat. Perjalanan terbaik yang saya pernah sertai. Ia sungguh menakjubakan, dari mula hingga akhir,” ujar Peake.
Bekas juruterbang helikopter itu berkata, dia tidak sabar untuk bertemu keluarganya.
“Saya akan merindui pemandangannya,” tambahnya merujuk kepada panorama planet Bumi dari ISS sepanjang enam bulan berada di angkasa.
Sementara itu Kopra berkata, perjalanan pulang ke Bumi disifatkan sebagai suatu yang ‘luar biasa’.
Bagi tokoh angkasa veteran Rusia pula, Malenchenko telah menghabiskan sejumlah 827 hari di orbit, menurut agensi angkasa Roscosmos.
Dari segi ranking, Malenchenko berada di kedudukan kedua sebagai orang yang paling lama menghabiskan masa di angkasa, di belakang teman senegara, Gennady Padalka, yang memegang rekod 878 hari di orbit.
Peake, Malenchenko dan Kopra telah dilancarkan ke angkasa dari Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan pada Disember lalu.
Kumpulan angkasawan seterusnya dijadual dilancarkan dari Kosmodrom Baikonur pada 7 Julai. Ia akan membawa Anatoly Ivanishin dari Rusia, Kate Rubins dari Amerika Syarikat dan Takuya Onishi dari Jepun ke ISS.
#angkasawan #angkasawan selamat mendarat #Baikonur #ISS #Kazakhstan #misi #orbit #Stesen Angkasa Antarabangsa
;