Tiga anak kecil peluk jasad ibu mati dibunuh
Sinar Harian
Jun 19, 2023 08:50 MYT
Jun 19, 2023 08:50 MYT
SEMARANG : Tangisan tanpa henti bayi berusia sebulan membongkar kematian seorang ibu muda di Jawa Tengah, Indonesia.
Lebih menyayat hati, wanita tersebut dipercayai sudah meninggal dunia selama dua hari di sebuah rumah sewa di Desa Kutoharjo di daerah Pati.
Semasa ditemui, bayi tersebut dalam dakapan ibunya, manakala dua lagi anak yang berusia dua dan empat tahun memeluk tubuh kaku wanita itu dalam keadaan lesu serta tidak bermaya akibat kelaparan.
Mangsa dikenali sebagai Budiati, 31, dan pemeriksaan pada tubuhnya terdapat banyak kesan lebam dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
“Kita percaya mangsa yang masih berpantang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
“Anak-anaknya hanya makan seadanya, bayi pula dalam keadaan dehidrasi yang kronik,” kata Ketua Siasatan Jenayah Polis Pati, Onkoseno G Sukahar.
Tambah Onkoseno, polis menahan suami mangsa, Mahsuri yang berusia 45 tahun dan lelaki itu mengaku menzalimi isterinya kerana cemburu.
“Siasatan mendapati mangsa enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek menyebabkan lelaki itu naik berang dan mengesyaki isterinya curang.
“Berlaku pertengkaran mulut sebelum suspek bertindak luar batasan dengan membelasah mangsa,” ujar Onkoseno.
Tambah Onkoseno, suspek ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan Jenayah Indonesia.
“Suspek berdepan hukuman sehingga 15 tahun penjara jika sabit kesalahan,” katanya. - Sinar Harian memetik agensi