Tiga anak angkat kami mati dibom - Syria Care

Malissa Sahari
Mac 3, 2018 19:15 MYT
Mereka yang cedera dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan rumah yang musnah teruk. - Gambar hiasan
Tiga anak angkat kami antara yang terbunuh selepas rejim Bashar al-Assad mengebom bilik bawah tanah, ujar Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar ketika menyentuh status anak yatim di bawah program Syria Care di Timur Ghouta.
Malah, salah seorang daripada mereka yang dikenali Nazam, yang baharu berusia dua tahun antara terbunuh.
Katanya, gencatan senjata lima jam setiap hari yang dicadangkan Presiden Rusia, Vladimir Putin umpama tidak membawa sebarang makna.
Tegasnya lagi, 'koridor kemanusiaan' yang diwujudkan Rusia pada hakikatnya menyebabkan kehidupan penduduk di wilayah itu seperti nyawa dihujung tanduk.
Beliau menambah, berdasarkan statistik 18 hingga 28 Februari 2018, seramai 605 maut akibat serangan udara pesawat tentera Rusia dan tentera rejim Bashar al-Assad.
Sementara itu, mereka yang cedera dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dalam keadaan rumah yang musnah teruk.
Gambar : Portal Rasmi Syria Care
Bagaimanapun, konvoi dan bantuan kemanusiaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat memasuki lokasi itu kerana dikawal ketat rejim Bashar.
Gambar : Portal Rasmi Syria Care
Syria Care dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Eemarushaam di Timur Ghoutah memerlukan bantuan dan sokongan ramai bagi meraih kutipan derma RM89,640 bagi mendapatkan 120 guni iaitu bersamaan 6 tan; ia mampu menyediakan 36,000 keping roti.
Gambar : Portal Rasmi Syria Care
#Bashar al-Assad #PBB #Pengerusi Syria Care #Rusia #Siti Sakinah Meor Omar #Syria #Vladimir Putin
;