AS tidak terlibat dalam pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh - Blinken

Bernama
Julai 31, 2024 15:24 MYT
Blinken berkata demikian semasa menjawab soalan oleh penyiar berpangkalan di Singapura, CNA. - Reuters
ISTANBUL: Washington "tidak menyedari atau terlibat dalam" pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Rabu.
Kenyataan Washington itu dibuat beberapa jam selepas Haniyeh dibunuh di ibu negara Iran, Tehran.
"Sangat sukar untuk membuat spekulasi, dan saya telah belajar selama bertahun-tahun untuk tidak membuat spekulasi mengenai kesan satu peristiwa terhadap peristiwa yang lain," kata Blinken.
Agensi Anadolu melaporkan Blinken berkata demikian semasa menjawab soalan oleh penyiar berpangkalan di Singapura, CNA, sama ada pembunuhan Haniyeh akan mempengaruhi keadaan konflik Israel-Palestin di Gaza.
Bagaimanapun, Blinken menekankan kepentingan mendapatkan gencatan senjata di Wilayah Palestin yang terkepung itu memandangkan konflik berterusan selama 10 bulan.
Blinken berada di Singapura untuk lawatan dua hari.
Hamas berkata pada Rabu bahawa Ketua Biro Politiknya, Haniyeh dibunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan tempat penginapannya di ibu negara Iran dan menyifatkan pembunuhan itu sebagai "serangan khianat Zionis."
Pemimpin Palestin yang terbunuh itu telah menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran pada Selasa, sebelum beliau dibunuh.
Kor Pengawal Revolusi Islam elit Iran turut mengesahkan kejadian itu.
Tiada pengumuman oleh Israel mengenai kejadian itu.
Menurut Mehr News Iran, pembunuhan itu berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.
Haniyeh "berada di salah satu unit kediaman untuk veteran perang di utara Tehran," lapor Mehr News.
Pemimpin Palestin itu "syahid selepas peluru berpandu mengenai tempat penginapannya," kata laporan itu.
-- BERNAMA
#Ismail Haniyeh #Pembunuhan #Amerika Syarikat #Antony Blinken