Tidak sempat lewati usia 30, bintang realiti obes meninggal dunia
Agensi
Februari 20, 2019 11:38 MYT
Februari 20, 2019 11:38 MYT
BINTANG program realiti TLC "My 600lb Life", Sean Milliken dilaporkan meninggal dunia pada usia 29 tahun.
Ayah Sean, Matt mengesahkan bahawa anaknya telah meninggal dunia selepas mengalami komplikasi jangkitan, pada Ahad.
Matt menulis di Facebook dengan menyatakan anaknya telah mengalami masalah pernafasan dan mereka cuba menyelamatkannya namun tidak lama kemudian jantungnya telah berhenti.
Tambahnya, anaknya itu merupakan seorang anak yang baik.
Berat Sean pernah mencecah 400 kilogram dan dia hanya mampu berdiri selama 30 saat sahaja.
Dia telah bergelut dengan berat badannya sejak kecil selepas ibu bapanya bercerai.
Beratnya mencecah 181 kilogram semasa remaja selepas mengalami kecederaan di sekolah tinggi dan kurang bersukan.
Sean muncul dalam "My 600lb Life" pada tahun 2016 dan memberitahu dia mahu berpindah ke Houston untuk menjalani pembedahan berat badan kerana dia risau jika dia tidak akan sempat untuk melewati umur 30.