Tidak realistik untuk runding semula protokol - Suruhanjaya Eropah

Astro Awani
Jun 14, 2022 12:39 MYT
SEFCOVIC: Sebarang rundingan semula akan menyebabkan ketidakpastian perundangan untuk rakyat dan perniagaan di Ireland Utara. -Reuters
BRUSSELS: Rancangan United Kingdom (UK) untuk mengubah perjanjian pasca-Brexit dikecam Naib Presiden Suruhanjaya Eropah.
Maros Sefcovic menegaskan badan eksekutif Kesatuan Eropah itu akan melancarkan prosedur pelanggaran bagi melindungi pasaran tunggal blok itu daripada risiko pencabulan protokol.
"Adalah tidak realistik untuk merundingkan semula protokol itu. Tiada penyelesaian alternatif untuk perjanjian ini.
"Sebarang rundingan semula akan menyebabkan ketidakpastian perundangan untuk rakyat dan perniagaan di Ireland Utara.
"Atas sebab ini, kami tidak akan merundingkan semula protokol tersebut," kata beliau.
Sebelum ini, UK dan EU dalam perjanjian Brexit setuju mengekalkan Ireland Utara dalam mod bebas kastam dan pemeriksaan lain.
Ini susulan sempadan bebas merupakan satu daripada tunjang utama proses damai yang menamatkan keganasan berdekad-dekad di Ireland Utara.
Bagaimanapun, bagi melindungi pasaran tunggal EU, pemeriksaan akan dijalankan ke atas barangan seperti daging dan telur yang memasuki Ireland Utara dan barangan dari UK.
#Brexit #Kesatuan Eropah #Maros Sefcovic #Ireland Utara
;