AS tidak pernah memaksa ASEAN berpihak - David R. Stilwell

Harits Asyraf Hasnan
September 15, 2020 17:02 MYT
David R. Stilwell berkata AS juga tidak mahu situasi itu berlaku dalam kalangan sahabat ASEAN mereka. - Foto REUTERS
Amerika Syarikat (AS) akui tidak pernah meminta mahupun memaksa mana-mana negara anggota ASEAN untuk memihak kepada mereka dalam apa juga isu.
Penolong Setiausaha Luar AS bagi Biro Asia Timur dan Asia Pasifik, David R. Stilwell berkata AS juga tidak mahu situasi itu berlaku dalam kalangan sahabat ASEAN mereka.
"Kami mendengar dari rakan-rakan negara anggota ASEAN mengenai keinginan mereka supaya tidak diletakkan dalam situasi untuk membuat pilihan, sama ada memihak kepada China ataupun AS.
"Bagi AS, kami tidak pernah memaksa untuk ASEAN membuat pilihan dan tidak mahu situasi itu berlaku," katanya pada telesidang hari ini.
Telesidang itu diadakan pasca Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan minggu lalu.
Kesatuan 10 negara anggota itu ingin kekal neutral dalam krisis AS-China.
Bagaimanapun, tindakan China di kawasan Asia Tenggara dilihat tidak memihak ASEAN seperti isu Laut China Selatan dan Sungai Mekong apabila beberapa tindakan mereka dilihat mengancam kedaulatan negara lain.
Stilwell berkata AS sentiasa terbuka dengan mana-mana negara anggota ASEAN untuk mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan vaksin COVID-19.
"Kerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN harus membawa kestabilan dan perdamaian di sesuatu kawasan serta menghasilkan sesuatu yang positif di mana ia sebahagian aspirasi AS," katanya.
Tambah Stilwell, Setiausaha Luar AS, Mike Pompeo sentiasa tegas terhadap tindakan China berkait pertikaian Laut China Selatan yang ketika ini telah menimbulkan ketegangan dengan negara-negara anggota ASEAN.
#Amerika Syarikat #AS #ASEAN #Asia Tenggara #China #COVID-19 #David R Stilwell #koronavirus #Laut China Selatan #Menteri Luar ASEAN #pertikaian Laut China Selatan #politik antarabangsa #Sungai Mekong
;