Tidak perlu kapal perang AS di Laut China Selatan - Tun M
Harits Asyraf Hasnan
November 15, 2018 16:08 MYT
November 15, 2018 16:08 MYT
Kapal perang Amerika Syarikat (AS) tidak perlu berada di Lautan ASEAN.
Itu syarat yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Naib Presiden AS, Mike Pence seiring usaha negara itu menyelesaikan krisis tuntutan Laut China Selatan menerusi strategi Indo-ASEAN.
“Asalkan strategi itu tidak menetapkan untuk menghantar Seventh Fleet ke perairan ini (Laut China Selatan).
“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa perairan sekitar rantau ASEAN harus bebas daripada kapal perang.
“Namun, bot pengawal kecil adalah perlu untuk mencegah aktiviti lanun, tapi kapal perang yang besar boleh mencetuskan tekanan,” katanya ketika ditemui media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 di sini hari ini.
Tambah beliau, selain bebas kapal perang, Laut China Selatan sepatutnya bebas digunakan kapal dagang termasuk di ruang udaranya.
Beliau turut akui perlu wujud kawalan keselamatan di perairan itu, namun kapal peronda kecil sudah memadai berbanding kapal perang.
#ASEAN
#keselamatan
#Laut China Selatan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Sidang Kemuncak ASEAN ke-33
#The Seventh Fleet