Tidak peduli kritikan, Duterte teruskan perang banteras dadah
Agensi
Julai 24, 2017 19:50 MYT
Julai 24, 2017 19:50 MYT
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Isnin bersumpah untuk meneruskan perang ke atas isu dadah dan bertegas bahawa tiada kritikan atau tekanan antarabangsa yang boleh menghalang keputusannya.
Duterte berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Dewan Negara, selain menambah bahawa pengkritiknya di dalam dan luar negara harus menumpukan kepada menggunakan pengaruh mereka untuk mendidik orang Filipina mengenai masalah dadah.
"Tidak kira berapa lama perjuangan menentang penggunaan dadah secara haram, ia akan diteruskan kerana itu adalah punca utama kejahatan.
"Perjuangan ini tidak akan berakhir dan tidak akan berkesudahan, ramai yang di luar sana yang tidak berdosa dan tidak berdaya menjadi mangsa,” kata Duterte kepada anggota Parlimen dari kedua-dua rumah Kongres.
Duterte menang majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Presiden tahun lalu selepas menjanjikan akan mengambil tindakan keras terhadap ancaman dadah yang menyaksikan puluhan ribu rakyatnya meninggal dunia.
Sejak beliau mengambil jawatan sebagai Presiden Filipina pada 30 Jun tahun lepas, anggota penguatkuasa dilaporkan telah membunuh hampir 3,200 individu yang terlibat dalam kitaran pengedaran dadah.
Kumpulan hak asasi mendakwa kebanyakan mangsa telah dibunuh oleh skuad khas yang ada kaitan dengan kerajaan.
Duterte pada Isnin juga menggesa penggubal undang-undang untuk memperkenalkan semula hukuman mati.
"Saya meminta Kongres untuk menggubal undang-undang dalam mengembalikan hukuman mati terhadap jenayah melampau, terutamanya pengedaran dadah secara haram," kata Duterte.