Tidak mahu jadi destinasi seks bawah umur, Nepal nekad banteras pencabul
Agensi
September 12, 2016 17:39 MYT
September 12, 2016 17:39 MYT
Polis Nepal pada Isnin telah menangkap seorang warga Amerika Syarikat atas dakwaan melakukan gangguan seksual ke atas remaja lelaki.
Pihak polis yang bertindak berdasarkan maklumat salah seorang mangsa telah menahan lelaki berusia 48 tahun itu pada Ahad di sebuah hotel di Kathmandu, tempat dia bersembunyi bersama tiga orang remaja lelaki.
“Kami telah menangkapnya berikutan aduan daripada mangsanya. Kebanyakannya berusia antara 12 hingga 14 tahun,” ujar ketua biro siasatan pusat Nepal, Nawa Raj Silwal kepada AFP.
Polis juga telah menahan seorang warga tempatan kerana disyaki membekalkan suspek dengan remaja lelaki daripada keluarga miskin, menggunakan muslihat wang dan janji mendapatkan kerja serta pendidikan.
Kedua-dua suspek kini dalam tahanan polis selama enam hari sementara siasatan dari aspek pencabulan dan pemerdagangan manusia dijalankan,” ujar Nawa.
Penguatkuasaan yang lemah selama ini telah menjadikan Nepal sebagai destinasi ‘pelancongan seks bawah umur’.
Pada Mac 2015, seorang sukarelawan Kanada didapati bersalah mencabul seorang budak lelaki berusia 15 tahun, dan menjalani hukuman penjara tujuh tahun.
Pada Ogos 2012, warga Britain Simon Jasper McCarty mengaku bersalah mencabul tiga budak lelaki yang ditemuinya di Nepal, manakala pada Disember 2012, pekerja kebajikan Perancis Jean-Jacques Haye dituduh memperkosa 10 kanak-kanak di rumah anak yatim Kathmandu.
Kesalahan mencabul atau melakukan gangguan seksual ke atas golongan bawah umur boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun di Nepal.
Kedutaan AS di Kathmandu buat masa ini tidak dapat dihubungi untuk sebarang ulasan.