Tidak lagi disara, lelaki 'biawak hidup' ini kerat dan rebus ibu bapa kandung

Afiq Ariffin
Oktober 9, 2020 11:13 MYT
Joel (gambar) merancang membunuh bapanya terlebih dahulu sebelum menyerang ibunya selepas mangsa pulang dari membeli belah. -Facebook @Kennyblogger
TENNESSEE: Mengerikan!
Seorang lelaki tergamak mengerat dan merebus ibu bapanya sendiri hanya kerana mereka enggan lagi menyara kehidupannya.
Joel Guy Jr, 32, yang tinggal bersama ibu bapa kandungnya Joel Guy Sr, 61, dan Lisa Guy, 55, bertindak sedemikian kerana ingin membuat tuntutan wang pampasan insurans berjumlah $500,000 (kira-kira RM2,075,750).
Tertuduh yang dibicarakan di mahkamah didakwa merancang pembunuhan ibu dan bapanya secara terperinci setelah kedua-dua mereka tidak mampu lagi menyara hidupnya selepas bersara.
Dalam keterangan di mahkamah, Joel dituduh menulis rancangan kejinya itu di dalam sebuah buku nota secara terperinci untuk menyembunyikan bukti.
“Bunuh di dapur dengan peluntur? Atau cencang dan pam cebisan mayat dalam tandas.
"Tak perlu buang mayat dan tiada bukti...,” tulis Joel dalam buku nota tersebut.
Buku nota itu dijumpai di dalam beg Joel di bilik yang dihuninya ketika Hari Kesyukuran, kata pendakwa raya.
Malah, nota di dalam buku tersebut turut menyatakan bahawa Joel merancang membunuh bapanya terlebih dahulu sebelum menyerang ibunya selepas mangsa pulang dari membeli belah.
Dalam muka surat berasingan, Joel turut menyenaraikan aset yang dimilik ibu bapanya termasuk wang polisi insuran nyawa berjumlah $500,000 (kira-kira RM2,075,750) yang bakal diperoleh jika kedua ibu bapanya meninggal dunia.
“$500,000 itu akan jadi milik saya.
"Dengan kematian mereka, saya akan peroleh semuanya,” tulisnya dalam buku nota tersebut yang menjadi bukti penting dalam siasatan kes berkenaan.
Pihak pendakwa raya memberitahu Joel telah menikam bapanya sebanyak 40 kali ketika ibunya sedang keluar membeli barangan keperluan rumah.
Apabila ibunya pulang, Joel dilapor menikam pula ibunya sebanyak 30 kali.
Kesan lebam pada gambar yang diambil di tempat kejadian menunjukkan kedua-dua mangsa turut dipukul beberapa kali sebelum mayat mereka dikerat-kerat.
Joel kemudian merebus bahagian badan ibu bapanya di atas dapur selain merendam cebisan mayat mangsa ke dalam asid.
Tertuduh turut menyimpan mayat mangsa dalam tong plastik biru.
Joel didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan pembunuhan dengan niat di Mahkamah Tennessee.
Hakim bagaimanapun akan memutuskan sama ada Joel bakal menjalani dua hukuman secara berturut-turut bulan depan.
#mahkamah #bunuh #jenayah #meninggal dunia #wanita #mayat #mangsa #suspek #rumah #lelaki #kerat #tikam #rebus #wang #insuran #Hukuman #Joel Guy Jr
;