Tidak kira siapa presiden, AS terus komited perkukuh hubungan dengan lndo-Pasifik - Blinken

Syafik Shukri Jalil
Oktober 12, 2024 15:54 MYT
Blinken yakin bahawa Kongres akan terus menyokong penglibatan Washington di Indo-Pasifik merentasi parti dan kedua-dua dewan Kongres. -Bernama
VIENTIANE: Amerika Syarikat (AS) akan terus menjalin hubungan yang erat dengan rantau Indo-Pasifik waima siapa pun yang akan dipilih ke jawatan Presiden negara itu dan memimpin White House di masa akan datang.

Ringkasan AI
  • AS akan terus menjalin hubungan erat dengan rantau Indo-Pasifik, tidak kira siapa yang akan menjadi presiden seterusnya, kerana kepentingan strategik di rantau ini adalah jelas.
  • Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, yakin bahawa Kongres akan terus menyokong penglibatan Washington di Indo-Pasifik, merentasi parti dan kedua-dua dewan Kongres.
  • Blinken menegaskan bahawa masa depan AS terletak di Indo-Pasifik kerana pertumbuhan, tenaga, dan inovasi yang luar biasa di kawasan ini, dan AS akan terus memperkukuh hubungan serta penglibatan di rantau ini.

Ini kerana menurut Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, kepentingan strategik di rantau ini adalah jelas dan beliau yakin akan terus memperoleh sokongan kuat daripada Kongres untuk terus memperkukuh penglibatan Washington di sini.
"Seperti yang sering saya katakan, saya tidak terlibat dalam politik, tetapi dalam pembuatan dasar dan saya bercakap tentang dasar-dasar Amerika Syarikat dan bagaimana kami melaksanakannya.
"Saya yakin terdapat sokongan yang kuat di Kongres untuk penglibatan kami di rantau ini, merentasi parti dan kedua-dua dewan Kongres. Saya tidak melihat perubahan dalam sokongan ini.
“Saya ulangi apa yang dinyatakan oleh Presiden Joe Biden, masa depan AS terletak di Indo-Pasifik kerana kawasan ini mempunyai pertumbuhan, tenaga, dan inovasi yang luar biasa,” katanya.
Blinken berkata demikian ketika ditanya mengenai dasar Washington terhadap rantau Indo-Pasifik sekiranya berlaku perubahan tampuk kepimpinan negara itu menjelang Pilihanraya Presiden yang akan berlangsung pada November ini.
Beliau antara lain menegaskan bahawa pemahaman global mengenai kepentingan Indo-Pasifik juga semakin jelas.
Ini jelasnya terbukti dalam tempoh tiga setengah tahun terakhir ini apabila AS terus berusaha untuk memperkukuh hubungan dan serta mengaktifkan penglibatan Washington dengan negara-negara di Indo-Pasifik, termasuk ASEAN.
“Ini adalah perjalanan ke-20 saya ke rantau Indo-Pasifik sebagai Setiausaha Negara, dan meskipun terdapat isu lain di Timur Tengah dan konflik di Rusia dan Ukraine, fokus kami tetap tertumpu pada kawasan ini.
“Kepentingan ini mendorong AS untuk melakukan dan menjayakan lebih banyak agenda di seluruh Indo-Pasifik,” jelasnya lagi.
Blinken berkata demikian semasa dalam satu pertemuan bersama delegasi media antarabangsa di American Center Vientiane di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Blinken berada di Vientiane bagi mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak AS-ASEAN.
Pilihanraya Presiden AS yang dijadual berlangsung 15 November depan menyaksikan saingan hebat daripada calon Parti Republikan yang juga merupakan bekas Presiden AS ke-45, Donald Trump berdepan saingan dari calon Parti Demokrat, Kamala Harris, yang ketika ini juga merupakan Naib Presiden negara itu.
#Anthony Blinken #rantau Indo-Pasifik #White House #Sidang Kemuncak ASEAN
;