Tidak henti berdepan kritikan, Ivanka Trump akhirnya tutup operasi syarikat fesyen

Agensi
Julai 25, 2018 13:11 MYT
Ivanka memberitahu, keputusan itu diambil untuk memberi keadilan kepada pasukan dan rakan kongsinya. - Gambar fail
Syarikat peruncitan fesyen yang dikendalikan anak perempuan sulung Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Ivanka, akan ditutup tidak lama lagi.
Portal The Guardian melaporkan, ia dipercayai ada kaitan dengan tekanan kritikan umum tentang syarikat tersebut kerana ia diuruskan oleh individu yang mempunyai konflik kepentingan.
Portal The New York Post pada Selasa adalah yang terawal melaporkan berita tentang penutupan serta-merta syarikat itu dan para pekerja telah diberitahu tentang pemberhentian kerja.
“Syarikat ini tidak pernah pulih sejak Ivanka tidak lagi menguruskannya secara langsung,” ujar seorang sumber dalaman syarikat kepadaThe New York Post.
Keluarga Trump berdepan krtitikan tanpa henti sejak pilihan raya presiden tahun 2016. Antaranya adalah dakwaan menyalah guna kedudukan politik mereka untuk meningkatkan kepentingan perniagaan anak-beranak.
Ivanka bagaimanapun telah ‘memisahkan’ dirinya dengan hal ehwal syarikat tersebut pada tahun 2017 untuk meredakan kritikan, namun sentimen itu kembali pada bulan Mei apabila dia memenangi beberapa kes melibatkan hak tanda dagang di China.
Dalam satu kenyataan, Ivanka berkata: “Apabila kami memulakan jenama ini, tiada siapa dapat menjangka kejayaan yang mampu dicapai. Selepas 17 bulan di Washington, saya tidak tahu bilakah atau adakah saya akan kembali menguruskan bisnes.
“Tapi saya tahu bahawa fokus saya terhadap masa depan adalah kerja yang akan saya lakukan di Washington. Maka, keputusan ini adalah sesuatu yang adil untuk pasukan dan rakan kongsi saya.”
Ivanka melancarkan jenama barang kemas pada tahun 2007, sebelum menambah kepada rangkaian kasut pada 2010 dan beg tangan pada tahun berikutnya. Syarikat itu berkembang menjadi jenama fesyen pakaian siap pada 2013. Setahun selepas itu, syarikatnya turut menawarkan koleksi aksesori hiasan, cermin mata dan minyak wangi.
#Amerika Syarikat #bisnes #Donald Trump #fesyen #Ivanka Trump #perniagaan #politik
;