AS tidak berhasrat pulihkan hubungan dengan Assad Syria: Rumah Putih
Bernama
Mei 9, 2023 10:44 MYT
Mei 9, 2023 10:44 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak berhasrat untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan rejim Syria Bashar al-Assad, kata Rumah Putih pada Isnin susulan keputusan Liga Arab menerima semula Damsyik dalam perkumpulan itu pada hujung minggu lepas.
Sebilangan besar negara serantau mula menyambung semula hubungan dengan Syria dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk sekutu rapat AS dengan jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre berkata, Washington sedang berhubung dengan mereka yang memilih untuk berbuat demikian bagi membincangkan proses itu.
"Kami telah berunding dengan rakan kongsi kami mengenai rancangan mereka dan menjelaskan bahawa AS tidak berhasrat untuk memulihkan hubungan dengan rejim Assad dan sekatan kami kekal berkuat kuasa sepenuhnya," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Jean-Pierre kepada wartawan.
Keputusan Liga Arab untuk menerima semula keanggotaan Syria dibuat menjelang sidang kemuncak tahunan Arab di Arab Saudi pada 19 Mei.
Rejim Syria mula bertukar lawatan rasmi dan hubungan dengan beberapa negara Arab sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah laporan mengenai kemungkinan keanggotaan Syria dalam organisasi seluruh negara Arab itu diterima semula.
Syria digantung daripada Liga Arab yang dianggotai 22 negara pada 2011 ekoran tindakan keras rejim terhadap protes pro-Demokrasi. - BERNAMA