AS tidak akan sokong serangan Israel di Rafah

Astro Awani
Februari 9, 2024 09:50 MYT
Rakyat Palestin memeriksa kemusnahan pada rumah mereka susulan serangan Israel di Rafah. - Foto AP
WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata mereka tidak akan menyokong sebarang rancangan kemaraan Israel untuk operasi ketenteraan di Rafah.
Kenyataan White House, melalui Setiausaha Negara Antony Blinken, sebaliknya menyuarakan kebimbangan AS mengenai operasi sedemikian.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby memberitahu media, sebarang operasi ketenteraan besar di Rafah pada masa ini "akan menjadi bencana", memandangkan terdapat sebilangan besar orang awam Palestin yang berlindung di kawasan itu.
Malah, tentera Israel dengan kejam telah mengebom kawasan di bandar sempadan selatan Gaza di Rafah pada Khamis di mana lebih separuh daripada penduduk Gaza berlindung.
"Lebih daripada sejuta rakyat Palestin berlindung di dalam dan sekitar Rafah dan di situlah mereka disuruh pergi. Terdapat ramai orang yang berpindah di sana.
"Tentera Israel mempunyai kewajipan khas kerana mereka menjalankan operasi di sana atau di mana-mana sahaja untuk memastikan bahawa mereka mengambil kira perlindungan untuk kehidupan awam yang tidak bersalah, terutamanya orang awam yang ditolak ke selatan Gaza oleh operasi lebih jauh ke utara, Khan Younis dan di utara Gaza.
"Tanpa sebarang pertimbangan penuh untuk melindungi orang awam pada skala itu di Gaza, operasi ketenteraan sekarang akan menjadi bencana bagi mereka," katanya.
Rafah menempatkan lebih sejuta penduduk dan kebanyakannya berada di khemah sementara.
Pesawat Israel mengebom sebahagian Rafah dan telah membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dalam serangan ke atas dua rumah.
Kereta kebal juga telah membedil beberapa kawasan di timur Rafah, meningkatkan kebimbangan penduduk terhadap serangan darat yang akan berlaku.
Penduduk Gaza dalam pada itu berharap gencatan senjata boleh tiba tepat pada masanya untuk mengelak serangan Israel ke atas Rafah.
#Israel #Rafah #serangan #Amerika Syarikat
;