Tiada tempat selamat buat penduduk Gaza, semuanya berisiko dibom

Ridauddin Daud
Mei 18, 2021 21:51 MYT
Setakat ini, lebih 200 orang maut dalam serangan terbaru rejim Zionis terhadap penduduk Palestin yang bermula minggu lepas. - Gambar/ Reuters
SETIAP hari bumi mereka dibedil, setiap hari tangisan mengiringi pemergian insan tersayang dan setiap hari juga penduduk Gaza hidup dalam ketakutan.
Dengar saja deruman pesawat pejuang, hati mula tidak tenteram, bimbang mereka pula menjadi sasaran, namun di sebalik kesukaran, hidup tetap diteruskan.
Sekiranya Gaza terus dibedil tanpa henti, keadaan di sana akan menjadi lebih teruk malah sistem kesihatan juga berkemungkinan lumpuh sepenuhnya.
Ikuti laporan ini, realiti sebenar di Gaza seperti diceritakan Ketua Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Gaza, Dr Medhat Abbas kepada Astro AWANI.
Gaza Diserang | Israel lancar satu lagi serangan udara
Pelajar tidak dapat ke sekolah kerana tiada wang, perniagaan jatuh kerana sempadan ditutup, pesakit hanya menunggu waktu meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya dan kakitangan awam hanya dibayar 15 peratus daripada gaji asal selama enam tahun.
Itu realiti dihadapi penduduk di Gaza yang disimpulkan Dr Medhat sebagai ‘hidup dalam kepungan’ sejak 15 tahun lepas. Ia juga antara faktor Gaza antara lain digelar 'penjara terbuka terbesar di dunia'.
Menurutnya, tiada jalan, bangunan atau tempat selamat buat rakyat Palestin di sana, semua lokasi berada dalam zon bahaya, bila-bila masa saja boleh diserang.
“Ketika COVID-19 datang, keadaan semakin rumit dan bertambah buruk. Sekarang dengan pencerobohan yang menyebabkan 2,000 terkorban (keseluruhan) dan lebih 200 terbunuh (baru-baru ini), di antaranya 58 kanak-kanak direkodkan, keadaan menjadi semakin teruk.
“Kami hanya mempunyai keupayaan terhad di Palestin. Kementerian Kesihatan hanya mempunyai 1,200 katil dan jika jumlah korban terus meningkat dengan kadar yang sama, pasti dalam masa yang singkat sistem kesihatan akan runtuh,” katanya.
Tegasnya, rejim Zionis melakukan jenayah perang dengan membedil kawasan orang awam dan kini, penduduk terpaksa bersembunyi di bangunan sekolah, menjadikan keadaan amat padat di sana.
Lebih menyedihkan, dua rakan Dr Medhat yang juga petugas perubatan maut dalam serangan baru-baru ini bersama-sama 200 orang yang lain.
Serangan Zionis | Bantuan perubatan di Gaza kritikal
“Mereka menyerang jalan raya, kilang, zon domestik dan menyerang blok menara 11 tingkat, 12 tingkat. Mereka juga menyerang kemudahan kesihatan. Beberapa hari yang lalu, mereka menyerang dua klinik kesihatan primer.
“Semalam mereka menyerang kawasan yang sangat dekat dengan makmal dan markas Kementerian Kesihatan (bertujuan) untuk menghentikan operasi makmal yang sedang menyiasat kes COVID-19,” ujarnya.
Buat masa sekarang, katanya Gaza sangat memerlukan bantuan dari luar terutamanya perubatan seperti ventilator, katil, monitor untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ubat-ubatan untuk rawatan pesakit kecemasan selain peralatan makmal.
“Sekarang kita menggunakan katil tambahan untuk menyokong ICU, bilik operasi dan kecemasan.
“Sekiranya mereka tidak berhenti menyerang orang awam dengan kadar yang sama, itu bermakna dalam jangka masa singkat, sistem kesihatan akan runtuh,” katanya.
Tambahnya, 13 hospital di Gaza kini menggunakan generator untuk beroperasi namun kini mereka semakin kekurangan minyak atau petrol untuk menggerakkannya.
Sekiranya sempadan negara masih ditutup, kemungkinan besar operasi hospital terpaksa dihentikan dan pastinya membawa bencana lebih besar kepada Gaza, katanya.
#Palestin #Gaza #rejim Zionis #serangan #maut #rakyat #meninggal dunia #Kanak-kanak #wanita #ICU #sekolah #pelajar #Zionis #perubatan #kesihatan #jenayah #COVID-19
;