Tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit aktiviti pembakaran ladang di Indonesia

Bernama
September 25, 2015 22:26 MYT
Pihak di Indonesia sering menyalahkan syarikat-syarikat perladangan milik Malaysia dan Singapura dengan dakwaan kononnya ia melakukan aktiviti pembakaran hutan bagi tujuan tanaman semula. - Gambar Fail
Persatuan Pelabur Perkebunan Malaysia di Indonesia (APIMI) hari ini mengesahkan tiada satu pun syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia terbabit dengan aktiviti pembakaran ladang dan hutan di negara ini.
Ketua Perwakilan APIMI Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata sebaliknya, kesemua syarikat perladangan Malaysia memastikan ia mematuhi amalan kerja pembersihan ladang tanpa pembakaran.
Beliau berkata amalan membakar hutan dan ladang bagi sebarang tujuan adalah satu kesalahan di negara ini, dan kesemua anggota APIMI sentiasa mematuhi undang-undang dalam operasi ladang.
"Kebanyakan syarikat perladangan Malaysia adalah anggota Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) iaitu organisasi yang mengeluarkan sijil pengiktirafan mengekport kelapa sawit ke Eropah, dan satu daripada syarat mendapat pengiktirafan RSPO ialah tiada amalan pembakaran terbuka di ladang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
RSPO amat tegas dalam isu-isu alam sekitar dan akan menarik sijil pengiktirafan terhadap mana-mana anggotanya yang didapati melakukan kesalahan pembakaran ladang.
Nor Hazlan menjelaskan jika ada kes pembakaran terbuka dalam kawasan ladang milik Malaysia, ia sebenarnya dilakukan oleh rakyat tempatan yang tinggal di dalam kawasan berkenaan.
Menurutnya ramai yang tidak tahu bahawa antara syarat pelaburan ladang kelapa sawit di Indonesia ialah syarikat pelaburan itu wajib memberi sebanyak 20 peratus kawasan ladang kepada penduduk tempatan.
Beliau berkata penduduk itu tidak dapat dipindahkan oleh kerajaan dan mereka pula menjalankan kegiatan perkebunan sendiri termasuk melakukan pembakaran terbuka.
"Jika dilihat dari data satelit, sememangnya kelihatan kebakaran dalam kawasan perladangan milik pelabur Malaysia tetapi ia bukannya ladang kelapa sawit tetapi kawasan kebun yang diusahakan rakyat tempatan," katanya.
Beliau berkata perkara itu terpaksa dijelaskan kepada pihak berkuasa Indonesia setiap tahun kerana aktiviti kebakaran sering berlaku terutamanya pada musim kemarau.
Selain itu, ada kekeliruan mengenai tafsiran syarikat milik pelabur Malaysia iaitu apabila syarikat tempatan mempunyai seorang pengurus rakyat Malaysia, ada pihak yang mendakwa ia adalah syarikat milik Malaysia.
"Pengurus itu hanya bekerja di syarikat milik tempatan dan jika syarikat itu terlibat dalam pembakaran terbuka, mereka mendakwa ia perbuatan syarikat milik Malaysia," kata beliau.
Nor Hazlan juga berkata dakwaan kononnya baru-baru ini sebuah syarikat milik pelabur Malaysia didapati melakukan kebakaran sebenarnya tidak benar kerana syarikat itu telah lama dijual kepada ahli perniagaan tempatan.
Sebagai komitmen kepada anti-pembakaran terbuka, beliau turut mewakili APIMI dalam Pasukan Bertindak yang ditubuhkan oleh kerajaan Indonesia bagi mengatasi isu pembakaran ladang.
"Kita turut menganjurkan latihan kebakaran dan kita mendapat kerjasama pasukan bomba tempatan untuk memberi pendidikan mengenai kesan buruk kebakaran terbuka kepada penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata kerajaan Indonesia harus bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana syarikat perladangan yang terbabit dengan pembakaran terbuka.
"Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas dan pantas tanpa mengira syarikat itu milik siapa. Kes jerebu ini harus diselesaikan dengan lebih menyeluruh dan bukan setakat mengambil kira syarikat Malaysia atau Singapura, kerana kes ini serius dan di tahap parah sebab ia berlaku setiap tahun," katanya.
Menurutnya pihak kedutaan memantau dan memberi maklumat kepada kerajaan Malaysia selain berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah jerebu.
Isu pembakaran hutan di Indonesia bagaikan satu fenomena tahunan dan mengakibatkan asap jerebu yang serius sehingga menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian rakyat Malaysia dan Singapura.
Pihak di Indonesia sering menyalahkan syarikat-syarikat perladangan milik Malaysia dan Singapura dengan dakwaan kononnya ia melakukan aktiviti pembakaran hutan bagi tujuan tanaman semula.
Baru-baru ini, Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan untuk menarik surat izin daripada pengusaha ladang yang melakukan pembakaran hutan kerana ia menyebabkan kerajaan menanggung kerugian yang besar.
Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti tujuh syarikat yang terlibat dalam perbuatan itu tetapi tidak menamakan syarikat atau pemilik syarikat terbabit.
#eropah #Jokowi #Minyak Sawit Lestari #Nor Hazlan Abdul Mutalib #Persatuan Pelabur Perkebunan Malaysia Indonesia #Zahrain Mohamed Hashim
;