Tiada siapa dapat pecah belah rakyat Rusia selepas serangan keganasan di Moscow - Putin

Bernama
Mac 23, 2024 07:24 MYT
Putin berucap kepada rakyat susulan kejadian tembakan rambang yang membawa maut di lokasi konsert di Dewan Bandaraya Crocus pada Jumaat, di Moscow, Rusia, 23 Mac 2024. (Foto AP)
MOSCOW: Tiada siapa yang dapat mewujudkan perpecahan dalam masyarakat multinasional Rusia, kata Presiden Vladimir Putin pada Sabtu susulan serangan pengganas di lokasi konsert di Dewan Bandaraya Crocus berhampiran Moscow.
"Tiada sesiapa yang dapat menyemai benih beracun perbalahan, panik dan persengketaan dalam masyarakat multinasional kita," kata Putin dalam ucapannya kepada rakyat negara itu, lapor Sputnik.
Rusia tahu "ancaman keganasan" kata presiden itu.
"Kami mengharapkan kerjasama semua negara yang ikhlas berkongsi penderitaan kami dan bersedia bergabung dalam memerangi musuh bersama - keganasan antarabangsa - dalam semua manifestasinya," kata Putin.
Mereka yang menyerang lokasi konsert di Dewan Bandaraya Crocus berhampiran Moscow cuba melarikan diri ke Ukraine, yang berdasarkan data awal, "laluan" telah disediakan untuk mereka menyeberang sempadan, kata presiden itu.
"Setakat ini, kami boleh katakan seperti berikut: keempat-empat pelaku terbabit secara langsung dalam serangan pengganas itu, yang melakukan tembakan dan pembunuhan, telah ditemukan dan ditahan.
"Mereka cuba melarikan diri dan bergerak ke arah Ukraine, iaitu berdasarkan data awal, laluan telah disediakan di pihak Ukraine untuk mereka menyeberangi sempadan negara," kata Putin dalam ucapannya, mengesahkan 11 orang yang berkaitan dengan serangan itu telah ditahan.
Langkah-langkah tambahan antikeganasan dan antisabotaj diperkenalkan di seluruh Rusia, kata Putin.
Di Moscow dan wilayah Moscow, di semua wilayah di negara ini, langkah-langkah tambahan antikeganasan dan antisabotaj telah diperkenalkan. Usaha ini adalah untuk mencegah dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai ini daripada melakukan jenayah baharu," kata Putin.
Putin dalam ucapannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan berdarah oleh pengganas di Dewan Bandaraya Crocus.
"(Saya) menzahirkan ucapan takziah yang mendalam dan tulus kepada semua yang telah kehilangan saudara-mara dan insan tersayang. Seluruh negara berkabung bersama-sama anda," kata presiden dalam ucapannya, menyifatkan tragedi di Dewan Bandaraya Crocus sebagai "serangan berdarah dan kejam oleh pengganas" yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Putin turut mengucapkan terima kasih kepada kru ambulans, anggota bomba dan penyelamat yang telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa orang ramai semasa dan selepas serangan pengganas itu.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #konsert #Rusia #serangan keganasan
;