‘Tiada sesiapa usir rakyat Palestin’ dari Gaza - Presiden Trump buat ‘u-turn’

Agensi
Mac 12, 2025 07:00 MYT
Presiden AS, Donald Trump (kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Rabu. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan pada Rabu, “tiada sesiapa yang mengusir rakyat Palestin” dari Gaza.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons kepada soalan seorang wartawan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin, di White House.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut bercanggah dengan rancangan beliau sebelum ini yang mencadangkan AS mengambil alih Gaza, mengusir penduduk Palestin, dan mengubahnya menjadi sebuah “Riviera” di Asia Barat.
Rancangan itu, yang diumumkan pada Februari ketika gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas di Gaza, menerima kecaman global.
Ia mengukuhkan kebimbangan lama rakyat Palestin bahawa mereka akan diusir secara kekal dari tanah air mereka dan ditolak secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.
Mesir, Jordan, dan negara-negara Teluk Arab bimbang bahawa sebarang rancangan sebegitu boleh mengancam kestabilan seluruh rantau ini.
Sebagai tindak balas terhadap rancangan itu, negara-negara Arab meluluskan pelan pembinaan semula Gaza bernilai AS$53 bilion yang diketuai Mesir bagi mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah tersebut.
Menteri-Menteri luar Arab pada Rabu menyatakan mereka akan meneruskan rundingan dengan utusan khas Trump mengenai pelan Mesir untuk membina semula Semenanjung Gaza, sebagai alternatif kepada cadangan Trump untuk mengambil alih wilayah Palestin itu.
Rundingan dan koordinasi mengenai pelan tersebut akan diteruskan dengan Utusan Khas AS, Steve Witkoff, sebagai “asas kepada usaha pembinaan semula” di Gaza, menurut kenyataan bersama selepas mesyuarat para menteri luar di Doha.
Kenyataan Presiden Trump itu dibuat selepas Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Bezalel Smotrich pada Ahad mengumumkan, Tel Aviv akan membuka pejabat baharu “Pihak Berkuasa Imigrasi” di bawah Kementerian Pertahanan untuk mengurus pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza, menurut beberapa laporan media.
Beliau mendakwa, rancangan tersebut mendapat sokongan daripada pentadbiran Trump. - Agensi
#Donald Trump #pengusiran rakyat Palestin #pembangunan semula Gaza #Trump buat u-turn
;