Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir buruk di Libya

Bernama
September 14, 2023 08:13 MYT
Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda wilayah timur Libya setakat hari ini. - Gambar fail/REUTERS
PUTRAJAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda wilayah timur Libya setakat hari ini.
Kementerian dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan dua rakyat Malaysia yang berada di Marsa El Brega telah dapat dihubungi dan disahkan selamat.
Kementerian juga sedang memantau perkembangan pasca Taufan Daniel yang melanda wilayah itu pada Ahad lepas.
Ribut yang dahsyat itu telah menyebabkan dua empangan di bandar Derna pecah, lalu mengakibatkan banjir besar yang mengorbankan nyawa lebih 8,000 nyawa, manakala 10,000 lain masih hilang.
Korban banjir dijangka terus meningkat mengambil kira usaha-usaha mencari dan menyelamat masih sedang giat dijalankan.
"Malaysia menzahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terjejas akibat Taufan Daniel," menurut kenyataan itu.
Susulan penutupan sementara Kedutaan Besar Malaysia di Libya sejak 2014, warganegara Malaysia di Libya yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah beralamat Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK), No. 26, Sabeel Al Khazhindar Street Abbasiyah, Kaherah, Mesir dan menghubungi talian berikut di (+2 ) 012 0027 6388 (pegawai bertugas) atau Tel: +202 4858677 dan +202 4829449 atau e-mel: mwcairo@kln.gov.my.
-- BERNAMA
#Kementerian Luar #Wisma Putra #rakyat Malaysia #terjejas #banjir Libya