Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden gunung berapi Sinabung - Wisma Putra
Astro Awani
Mei 24, 2016 20:57 MYT
Mei 24, 2016 20:57 MYT
Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden letusan gunung berapi di Sinabung, Sumatera Utara, Indonesia, Sabtu lalu.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar turut menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berada berhampiran kawasan kejadian mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian berkenaan.
"Mereka turut disarankan untuk mendaftar diri dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, di Medan, dengan menghubungi talian +62 61 453 1342 atau +62 61 453 5271.
"Selain itu, mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengirim e-mel menerusi mwmedan@kln.gov.my," jelas kenyataan itu.
Dalam kejadian berkenaan, sekurang-kurangnya tujuh terbunuh manakala dua lagi cedera parah selepas seluruh Kampung Gamber, Simpang Empat, Karo, terkena ledakan gunung berapi.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus melakukan pemantauan secara berterusan terhadap pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi Sinabung.
Katanya setakat ini tiada asap dan debu daripada gunung itu sampai ke Malaysia dan sehingga 12 tengah hari Isnin, tiada letusan susulan berlaku.