Tiada rakyat Malaysia jadi mangsa insiden rempuhan trak di Berlin

Bernama
Disember 20, 2016 12:43 MYT
Dalam kejadian terbabit, seorang pemandu treler traktor merempuh Christmas Market di Breitscheidplatz Square, Kurfuerstendamm Avenue barat Berlin. - Foto AP
Tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam insiden rempuhan trak di Berlin, Jerman pada malam Isnin (19 Dis) yang mengorbankan 12 orang dan kira-kira 50 lagi cedera.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Kedutaan Malaysia di Berlin melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memberi maklumat terkini kepada komuniti Malaysia di sekitar Berlin berhubung kejadian itu.
"Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini," kata kenyataan itu di sini hari ini.
BACA: Trak rempuh pasar Krismas di Berlin, 12 maut
Dalam kejadian terbabit, seorang pemandu treler traktor merempuh Christmas Market di Breitscheidplatz Square, Kurfuerstendamm Avenue barat Berlin.
Suspek dipercayai pemandu lori tersebut dilaporkan telah ditahan berhampiran tempat kejadian. - BERNAMA
#Breitscheidplatz square #kedutaan malaysia berlin #rempuhan berlin
;