Tiada rakyat Malaysia cedera serangan pengganas di Pakistan - Wisma Putra

Bernama
Februari 17, 2017 23:12 MYT
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dan terjejas dalam serangan pengganas di Wilayah Sindh, Pakistan pada Khamis. - Gambar fail
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dan terjejas dalam serangan pengganas di Wilayah Sindh, Pakistan pada Khamis, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 nyawa dan mencederakan 250 orang.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi akan terus memantau situasi berkenaan.
"Kerajaan Malaysia amat sedih dengan tindakan keganasan yang tidak berasas ini dan telah meragut banyak nyawa tidak berdosa di samping mencederakan ramai yang lain.
"Kerajaan Malaysia berharap pihak yang bertanggungjawab ke atas jenayah ini akan dibawa ke muka pengadilan secepatnya. Kerajaan Malaysia juga merakamkan takziah dan simpati kepada kerajaan Pakistan dan keluarga mangsa yang terlibat," kata Wisma Putra.
Laporan media menyebut, sekurang-kurangnya 60 maut manakala 250 orang cedera dalam kejadian letupan ke atas makam Lal Shahbaz Qalandar di bandar Sehwan, wilayah Sindh.
Menurut laporan stesen televisyen CNN, Islamic State Khorasan, sebuah sekutu kumpulan militan Daesh di Afghanistan dan Pakistan mendakwa bertanggungjawab atas serangan tersebut.
-- BERNAMA
#Islamabad #Islamic State Khorasan #Pakistan #Wisma Putra
;