Tiada perubahan drastik dijangka dari PRU Thailand - Penganalisis
Firdaus Azil
Mac 24, 2019 11:20 MYT
Mac 24, 2019 11:20 MYT
Pilihan raya umum yang berlangsung di Thailand ketika ini dilihat tidak akan membawa perubahan yang ketara terhadap landskap politik negara itu, kata penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Hamidin Abdul Hamid.
Sebaliknya, jelas beliau lagi, perjalanan proses itu hanyalah bagi memberi lebih legitimasi kepada kerajaan sedia ada yang dikuasai Junta Tentera ketika ini, termasuklah calon Perdana Menterinya Jeneral Prayut Chan-o-cha.
Menggelarkan situasi itu sebagai demokrasi hibrid, Hamidin berkata, proses pilihan raya itu juga membolehkan tentera, serta parti pro-Junta iaitu Phalang Pracharat menilai tahap populariti mereka di kalangan masyarakat Thailand.
“Saya rasa (pilihan raya) ini sebagai satu yang baik dalam konteks bagaimana demokrasi digunakan sebagai legitimation process, untuk memastikan kerajaan itu mempunyai legitimasi.
“Ia bukan lagi dalam konteks tahun 2014, yang hampir lima tahun kuasa itu datang daripada rampasan kuasa.
"Jadi, saya melihat, pilihan raya ini lebih kepada satu transisi, daripada junta kepada kerajaan demokrasi, yang masih lagi berasaskan junta, tetapi memberikan legitimasi ke arah itu,” katanya sewaktu Buletin Khas Awani: Pilihan Raya Umum Thailand hari ini.
Lebih 51 juta pengundi termasuk 7.33 juta pemilih pertama kali dijangka membuang undi pada hujung minggu ini untuk memilih 500 wakil ke Parlimen dengan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan, sementara baki 150 akan dipilih melalui senarai parti.
Penganalisis politik menjangka jumlah pengundi yang keluar hari ini akan mencatat sejarah sebagai yang tertinggi sejak 2007 berikutan wujud perubahan ketara dari segi harapan dan juga penyertaan parti politik pada pilihan raya kali ini.
Dalam pada itu, Hamidin berkata, beliau menjangkakan sedikit ketidakstabilan sekiranya Prayut serta Phalang Pracharat terus dipilih menerajui kerajaan negara itu.
“Ini menjadikan Prayut mungkin akan kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi berasaskan kepada minority government, harus bekerjasama dengan yang lain. Ini komprominya,” katanya lagi.
#Demokrasi Hibrid
#government
#Junta
#Parlimen
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#Prayut
#Prayut Chan-O-Cha
#tentera
#Thailand