Tiada permit terbang, Indonesia gantung 61 penerbangan

Agensi
Januari 9, 2015 13:20 MYT
IGNASIUS JONAN: Indonesia hari ini bertindak menggantung 61 penerbangan yang didapati tidak mempunyai permit sah untuk terbang dari negara itu. -Gambar fail
Indonesia hari ini bertindak menggantung 61 penerbangan yang didapati tidak mempunyai permit sah untuk terbang dari negara itu.
Menteri Pengangkutan Ignasius Jonan berkata penggantungan itu melibatkan lima syarikat penerbangan, lapor straitstimes.com.
"Garuda Indonesia telah melanggar empat syarat, Lion Air 35, Wings Air 18, Trans Nusa satu, dan Susi Air tiga," kata Ignasius Jonan pada satu sidang akhbar.
"Mereka melakukan pelanggaran permit. Mereka tidak mempunyai permit penerbangan (untuk 61 laluan). Ia pelanggaran yang sama seperti AirAsia," tambahnya.
Keputusan untuk mengkaji semula permit penerbangan adalah susulan tragedi yang menimpa penerbangan AirAsia QZ8501 yang terhempas ke laut ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.
AirAsia kemudiannya didapati melanggar syarat penerbangan dengan terbang pada Ahad tanpa permit sah daripada kerajaan Indonesia.
Dalam perkembangan sama, Jonan juga berkata kementeriannya telah menggantung 11 pegawai kerana cuai dan telah mengaudit lima lapangan terbang di negara ini sejak kemalangan melibatkan pesawat AirAsia QZ8501 hujung tahun lalu.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan sistem dalam talian pada akhir Januari bagi memantau permit penerbangan.
Dalam nahas itu, 162 penumpang dan kru pesawat tersebut dipercayai terkorban setelah pesawat yang dinaiki terhempas di Laut Jawa.
Lebih 40 mayat berjaya ditemui kumpulan pencarian yang turut menemui ekor pesawat malang tersebut.
Pencarian kotak hitam pesawat QZ8501 itu masih diteruskan.
#AirAsia #Ignasius Jonan #Indonesia #penrbangan #permit #QZ8501