Tiada perdamaian melainkan Baitulmaqdis bebas - Liga Arab
Agensi
Disember 10, 2017 08:37 MYT
Disember 10, 2017 08:37 MYT
Liga Arab pada mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar di Kaherah, Mesir menyifatkan perdamaian tidak akan berlaku tanpa pembebasan Baitulmaqdis.
Malah, mesyuarat itu turut menganggap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah langkah bahaya dan tidak boleh diterima selain jenayah terang-terangan dalam penyelesaian politik berhubung konflik Palestin-Israel.
Menteri Luar Jordan, Ayman Al-Safadi berkata, pihaknya mahu keamanan sebagai pilihan strategik yang dituntut untuk semua rakyat Palentin buat selama-lamanya.
"Bagaimanapun, tidak akan ada perdamaian tanpa kebebasan melainkan Baitulmaqdis bebas dan (diiktiraf) sebagai ibu negara Palestin," katanya pada mesyuarat tergempar itu.
Dalam pada itu, Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki mengharapkan Blok Negara-Negara Arab (Majlis Keselamatan) segera bertindak dalam menyampaikan resolusi draf kepada majlis tersebut dengan menolak keputusan Trump itu.
"Kami juga menyeru masyarakat Arab dan Muslim serta dunia secara keseluruhannya segera melawat Baitulmaqdis sebelum ia (Baitulmaqdis) menjadi mangsa kepada keputusan Amerika dan ancaman Israel," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit berkata, keputusan kontroversial Trump itu melanggar undang-undang antarabangsa sekali gus membangkitkan persoalan mengenai usaha AS menyokong usaha perdamaian Palestin-Israel.
Katanya, peralihan dasar dalam pentadbiran Trump melemahkan keyakinan Arab serta jumlah pengesahan mengenai pendudukan Israel ke atas Palestin.
"Keputusan AS secara paksa itu hanya satu pembaziran kepada prinsip-prinsip keadilan antarabangsa. Maka sesiapa yang melaksanakan keputusan itu dilihat sebagai bertentangan dengan kehendak masyarakat dunia," katanya.
#Amerika Syarikat
#Baitulmaqdis
#Donald Trump
#Israel
#Kaherah
#Liga Arab
#Mesyuarat tergempar
#Zionis