Tiada normalisasi hubungan Israel tanpa negara Palestin - Arab Saudi

Astro Awani
Januari 22, 2024 08:30 MYT
Putera Faisal berkata, negara Palestin adalah satu-satunya cara untuk semua pihak mendapat manfaat. - Foto fail/AP
DAVOS: Arab Saudi tidak boleh melaksanakan normalisasi hubungan dengan Israel tanpa menyelesaikan isu Palestin.
Kenyataan itu ditegaskan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan al Saud dalam wawancara bersama CNN, pada Ahad.
Putera Faisal berkata, negara Palestin adalah satu-satunya cara untuk semua pihak mendapat manfaat kerana kestabilan diperlukan di rantau itu dan ia hanya akan dapat dicapai melalui penyelesaian isu Palestin.
Kenyataan Menteri Luar itu adalah sebahagian daripada wawancara yang pada asalnya dirakam di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diadakan minggu lalu di Davos, Switzerland dan disiarkan pada Ahad di CNN.
Tegasnya, apa yang dilihat adalah Israel sedang menghancurkan penduduk dan bandar Gaza.
Tindakan ini sama sekali tidak perlu dan tidak boleh diterima serta perlu dihentikan.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 25,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 62,000 cedera dalam serangan Israel ke atas wilayah itu sejak 7 Oktober.
#Israel #Palestin #Arab Saudi #normalisasi hubungan
;