Tiada maklumat mengenai kemasukan pengganas Daesh ke Thailand - PM
Bernama
Januari 15, 2016 07:17 MYT
Januari 15, 2016 07:17 MYT
Pihak berkuasa Thailand telah meningkatkan pemantauan di Bangkok dan sempadan negara itu susulan serangan bom di Jakarta pada Khamis tetapi sehingga sekarang tidak menerima apa-apa maklumat mengenai kemasukan pengganas Daesh ke negara itu.
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berkata, negaranya telah meningkatkan kerjasama keselamatan dengan negara-negara jiran dalam usaha untuk mengekang sebarang ancaman daripada Kumpulan Pengganas Daesh.
"Saya tidak pasti saya tidak menyembunyikan apa-apa (mengenai ancaman Daesh) tetapi belum ada maklumat mengenai kemasukan kumpulan itu (pengganas Daesh) ke Thailand," kata beliau kepada pemberita selepas melawat bangunan baharu Bursa Saham Thailand di Din Daeng di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, setiap negara harus berhati-hati mengenai isu Kumpulan Pengganas Daesh dan usaha telah dan akan diambil untuk memantau dengan rapi ancaman yang dicetuskan oleh kumpulan yang berakar umbi di Syria dan Iraq.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menasihatkan media di negara itu supaya mengendalikan isu-isu berkenaan dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan keadaan cemas dalam kalangan orang ramai yang akan menimbulkan masalah kepada bursa saham dan ekonomi.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand berkata, serangan pengganas di Jakarta yang menyebabkan lima daripada pelaku serta dua orang awam terbunuh merupakan "amaran berjaga-jaga" kepada semua agensi keselamatan di Asia Tenggara.
Menurut Setiausaha Agungnya Jen Thawip Netniyom, serangan itu harus mendorong para pegawai keselamatan di rantau itu untuk bekerjasama lebih rapat dalam berkongsi maklumat perisikan mengenai anggota Kumpulan Pengganas Daesh.
Thawip dilaporkan sebagai berkata oleh akhbar Bangkok Post pada Jumaat bahawa agensi-agensi keselamatan Thai telah bekerjasama rapat dengan rakan agensi keselamatan di Indonesia.