Tiada lagi imej puncak gunung Matterhorn pada coklat Toblerone
Agensi
Mac 6, 2023 11:00 MYT
Mac 6, 2023 11:00 MYT
WASHINGTON: Coklat bar berjenama Toblerone yang dijual di lebih 100 buah negara dilaporkan tidak lagi boleh dipanggil coklat keluaran negara Switzerland.
Ini kerana pemilik jenama dari Amerika Syarikat itu sedang memindahkan proses pengeluaran produk berkenaan keluar dari Switzerland.
Memetik lapoiran BBC, coklat yang terkenal dengan bentuk segi tiga yang diperbuat menggunakan madu dan nougat badam itu tidak lagi menggunakan imej puncak gunung Matterhorn sebagai logo pada bungkusan produknya.
Ia berikutan peraturan ketat negara Switzerland mengenai penggunaan simbol negara itu.
Jurucakap Mondelez, Aargauer Zeitung memaklumkan reka bentuk baharu pembungkusan itu akan menampilkan logo gunung yang diperkemaskan, sejajar dengan estetik geometri dan segi tiga produk tersebut.
Sebelum ini, logo puncak gunung Matterhorn mula digunakan pada bungkusan coklat sejak tahun 1970 menggantikan imej beruang dan helang yang mewakili penghasilan coklat di Bern pada 1908.
Berdasarkan laporan The Guardian, pada 2017, Switzerland meluluskan peraturan yang melarang penggunaan simbol negara itu pada bungkusan produk makanan dan industri.
Di bawah peraturan tersebut, sekurang-kurangnya 80 peratus bahan mentah produk harus diperoleh dari negara itu sendiri dalam usaha memastikan barang yang dihasilkan boleh ditandakan sebagai pengeluaran negara Switzerland.