Tiada had jumlah orang berhimpun, New Zealand umum fasa baharu pembukaan semula ekonomi
Agensi
Jun 8, 2020 20:46 MYT
Jun 8, 2020 20:46 MYT
KERAJAAN New Zealand yakin telah berjaya mengekang penularan tempatan wabak COVID-19 di negara itu.
Tiada kes baharu dilaporkan selama 17 hari dan pada masa yang sama 40,000 individu telah menjalani ujian saringan.
Tiada kes aktif juga dilaporkan buat kali pertama sejak bulan Februari.
Susulan itu Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan Kabinet telah bersetuju untuk memasuki fasa baharu terhadap pembukaan semula ekonomi di negara itu.
“Bagi fasa terbaharu ini, majlis-majlis yang melibatkan perhimpunan orang ramai boleh diadakan tanpa had jumlah orang seperti majlis perkahwinan, upacara pengebumian dan penjualan di kedai-kedai juga tiada had.
“Sektor hospitaliti juga dibuka tanpa had termasuk penggunaan kenderaan awam dan pelancongan domestik juga dibuka semula,” jelasnya.
Ardern turut memaklumkan, fokus kerajaan ketika ini adalah mengawal pintu sempadan di mana proses isolasi dan kuarantin akan diteruskan.
Menurut pakar, negara itu berjaya merekodkan perkembangan positif ini susulan perintah berkurung yang dikenakan pada awal penularan wabak tersebut.
Untuk rekod, New Zealand hanya mencatatkan 1,500 kes positif dengan hanya 22 kematian.