Tiada ‘gunung sampah’ di New Delhi menjelang 2026
Astro Awani
Mac 7, 2025 09:15 MYT
Mac 7, 2025 09:15 MYT
Gunung sampah yang dilihat di tapak pelupusan Bhalswa. - Foto X/DW Asia
NEW DELHI: Ibu negara India, New Delhi, berjanji untuk membersihkan satu daripada tapak timbunan sampah terbesarnya menjelang 2026.
Langkah itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menghapuskan tapak pelupusan yang mencacatkan pemandangan bandar raya itu.
Kira-kira 32 juta penduduk tinggal di bandar itu, di mana pengurusan sisa yang tidak teratur menyebabkan tapak pelupusan dipenuhi sampah setinggi 60 meter dan boleh dilihat dari jauh.
Kebakaran kecil kerap berlaku semasa musim panas di ibu negara, menyebabkan timbunan sampah bertukar menjadi kebakaran toksik dan melepaskan asap kimia berbahaya ke kawasan kejiranan berhampiran.
Menteri Alam Sekitar Delhi, Manjinder Singh Sirsa berkata, usaha sedang dijalankan untuk memproses dan melupuskan sampah di salah satu lokasi longgokan terbesar di bandar itu.
Menurutnya, menjelang akhir 2025, timbunan sampah di Bhalswa, pinggir utara bandar akan dikurangkan sehingga tidak lagi kelihatan dari jauh.
Antara lain ujar beliau, matlamat utama pihak berkuasa ialah mahu memastikan tiada lagi gunung sampah baharu terbentuk.
Kawasan kejiranan di sekitar tapak pelupusan sampah Bhalswa menjadi tempat tinggal bagi ribuan penduduk termiskin di Delhi, yang berhijirah dari luar bandar untuk mencari pekerjaan.
Sirsa berkata, tapak bhalswa akan dibersihkan sepenuhnya menjelang Mac 2026, dengan kerja pemulihan sama akan dilakukan di dua lagi tapak pelupusan utama di Delhi.
Menurut anggaran rasmi pada 2023, Delhi menghasilkan lebih 11,000 tan sisa pepejal setiap hari.
Lebih empat juta tan sisa kini berlonggok di tapak pelupusan Bhalswa, di mana sisa domestik yang tidak dirawat sering terbakar ketika musim panas, menghasilkan metana berlebihan sehingga memburukkan lagi pencemaran udara di bandar utama India.