Tiada bukti suspek pengebom New York ada kaitan dengan militan di Bangladesh - Polis

Agensi
Disember 13, 2017 15:45 MYT
Akayed Ullah, 27 tahun, didakwa meletupkan bom paip yang dilekatkan di badannya di stesen kereta api bawah tanah, Manhattan. - Foto REUTERS
Pihak polis Bangladesh tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan suspek serangan stesen komuter bawah tanah New York dengan kumpulan militan di negara itu.
Menurut Ketua Unit Anti-Keganasan Polis Bangladesh, Monirul Islam, pihaknya tidak dapat mengenal pasti mana-mana sekutunya yang terlibat dalam kejadian itu.
"Kami telah mengumpulkan bukti dan maklumat daripada ahli keluarga suspek iaitu isteri, bapa mertua dan ibu mertua suspek.
"Di Bangladesh, kami tidak menjumpai apa-apa kaitan ataupun mengenal pasti mana-mana sekutu suspek yang terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas," katanya kepada Reuters.
BACA: Empat cedera dalam serangan bom paip di New York, suspek ditahan
Suspek, Akayed Ullah, 27 tahun, didakwa meletupkan bom paip yang dilekatkan di badannya di stesen kereta api bawah tanah, Manhattan.
Bagaimanapun, ia tidak meletup sepenuhnya dan Akayed satu-satunya mangsa yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu.
#Akayed Ullah #Bangladesh #Monirul Islam #New York #polis Bangladesh #serangan komuter #suspek #unit anti-keganasan
;