AS tiada bukti Israel lakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza - Setiausaha Pertahanan

Agensi
April 9, 2024 07:00 MYT
Lloyd Austin berkata, sepanjang pengetahuannya, Amerika Syarikat tidak mempunyai bukti Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam perangnya di Gaza. - Gambar fail REUTERS
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin memberitahu Senat sepanjang pengetahuannya, negara itu tidak mempunyai bukti Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam perangnya di Gaza.
"Kami tidak mempunyai sebarang bukti pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh Israel, kata Austin pada pendengaran di Capitol Hill, pada Selasa.
Senator Elizabeth Warren, seorang Demokrat dari Massachusetts, minggu lalu berkata, beliau percaya mahkamah antarabangsa boleh mentafsirkan tindakan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai, menurut video yang disiarkan oleh wartawan GBH News, selepas menyatakan ahli politik itu berpendapat “apa yang dilakukan Israel adalah salah. ”
"Jika anda mahu melakukannya sebagai permohonan undang-undang, saya percaya bahawa mereka akan mendapati bahawa ia adalah pembunuhan beramai-ramai dan mereka mempunyai bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian," kata Warren di Pusat Islam Boston sebagai menjawab soalan daripada seorang ahli penonton sama ada beliau berpendapat "Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai."
Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula mendakwa tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel sebagai "tidak berasas."
Perang antara Israel dan pasukan pejuang Palestin, Hamas sudah berlanjutan selama enam bulan sejak serangan pertama pada 7 Oktober lalu.
Serangan Hamas ke atas Israel pada tarikh berkenaan menyebabkan kematian 1,200 orang, menurut Israel.
Tindak balas Israel ke atas Semenanjung Gaza secara rakusnya pula menyebabkan hampir kesemua 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang dinafikan Israel.
AS merupakan sekutu dan pembekal utama senjata kepada Israel.
Pada hujung Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan saman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meminta injuksi terhadap Israel atas alasan serangan Israel ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #AS tiada bukti #Israel lakukan genosid #Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat'
;