Tiada bukti berlaku kejadian tembakan di Lapangan Terbang JFK
Astro Awani
Ogos 15, 2016 10:28 MYT
Ogos 15, 2016 10:28 MYT
Siasatan awal di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy tidak menemukan sebarang bukti berlaku kejadian tembakan di sebuah terminal pada Ahad.
Laporan awal menyebut bahawa kedengaran dua tembakan dilepaskan, namun penyiasat gagal menemukan kelongsong peluru selepas carian dilakukan di Terminal 8 yang dikosongkan susulan laporan awal insiden.
Pihak berkuasa yang mengawal selia lapangan terbang, Port Authority of New York and New Jersey (PANYNJ) menerusi akaun Twitternya berkata terminal dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, dan penumpang diminta berhubung dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Video dan foto di media social menunjukkan orang ramai berpusu-pusu keluar dari Terminal 8 yang digunakan oleh Air Berlin, Alaska Airlines, American Eagle, American Airlines, Finnair dan syarikat penerbangan lain untuk pelepasan.
Terdahulu, polis menjalankan siasatan selepas mendapat laporan berlaku kejadian tembakan di sebuah terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada Ahad.
Seorang suspek kemudian diburu manakala Terminal 8 lapangan terbang tersebut dikosongkan.
Laporan berhubung kejadian tembakan itu diterima pada sekitar 9.30 malam dengan saksi mendakwa terdengar dua tembakan dilepaskan.