Tiada bikini dalam Miss World 2013 Indonesia
AFP RELAXNEWS
Jun 7, 2013 10:34 MYT
Jun 7, 2013 10:34 MYT
Peserta ratu cantik dunia tidak akan mengenakan bikini dalam acara itu bagi mengelak tentangan masyarakat Muslim Indonesia menurut penganjur yang mengesahkannya pada Rabu.
137 peserta wanita yang mengambil bahagian dalam acara itu September depan akan menggantikan bikini dengan pakaian yang lebih sesuai seperti mengenakan kain sarung sewaktu peragaan pantai.
Acara itu akan diadakan di sebuah resort di Bali di mana ramai pelancong asing dan wanita berjemuran bawah terik matahari dengan berpakaian mandi.
Pengerusi Organisasi Ratu Cantik Dunia Julia Morley turut bertegas bahawa tiada peserta yang akan memakai bikini.
“Saya tidak mahu menimbulkan kemarahan sesiapa dan mengundang rasa tidak hormat,” jelas beliau yang kini berada di London.
“Kami mempromosikan rasa saling hormat-menghormati kepada negara yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Penganjur kini mengambil langkah berjaga-jaga berikutan beberapa acara muzik mengundang kontroversi berhubung penampilan artis.
Tahun lalu, ratu pop Lady Gaga diarahkan membatalkan konsertnya di Indonesia selepas ekstremis Muslim mengancam untuk membakar lokasi acara konsert dan mengecam penyanyi pop itu yang hanya mengenakan pakaian dalam.
Penyanyi Beyonce dan kumpulan Pussycat Dolls diminta untuk menutup tubuh yang terdedah sebelum mengadakan persembahan di negara majoriti Muslim itu.
Jurucakap Majlis Ulama’ Indonesia Muhyidin Djunaedi berkata acara berkenaan menggalakkan budaya hiburan, kebendaan dan konsumerisme. Acara itu juga tidak menjadi lambang pimpinan kepada generasi muda Muslim.