Tiada bekalan perubatan diterima di Gaza selama 10 hari - WHO

Bernama
Mei 18, 2024 10:45 MYT
Tiada bekalan perubatan diterima di Semenanjung Gaza selama 10 hari ketika Israel meneruskan serangan ganas ke atas wilayah terkepung itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat. - Gambar fail REUTERS
GENEVA: Tiada bekalan perubatan diterima di Semenanjung Gaza selama 10 hari ketika Israel meneruskan serangan ganas ke atas wilayah terkepung itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, penutupan lintasan Rafah ke Gaza oleh Israel telah menyebabkan "situasi yang sukar".
"Bekalan perubatan terakhir yang kami terima di Gaza adalah sebelum 6 Mei," katanya.
Jasarevic berkata, kebimbangan terbesar adalah mengenai bekalan bahan api yang diperlukan untuk memastikan klinik dan hospital terus beroperasi.
Kemudahan kesihatan di Gaza memerlukan sehingga 1.8 juta liter bahan api sebulan untuk terus berfungsi.
Menurut jurucakap itu, hanya 159,000 liter bahan api yang telah masuk ke Rafah sejak penutupan sempadan.
"Ini jelas tidak mencukupi," tambahnya, sambil menegaskan hanya 13 daripada 36 hospital di wilayah Palestin kini "sebahagiannya" beroperasi.
"Hospital yang masih berfungsi kini kehabisan bahan api dan ini membahayakan banyak nyawa.
"Operasi ketenteraan semasa di Rafah meletakkan banyak nyawa dalam bahaya," kata Jasarevic.
Tentera rejim memulakan pencerobohan ke atas bandar Rafah pada 7 Mei untuk memperluas serangan mereka ke atas wilayah yang dikepung itu, menutup sempadan Rafah ke Mesir yang penting untuk bekalan kemanusiaan.
Dengan agensi-agensi PBB memberi amaran tentang risiko kebuluran yang semakin meningkat di Gaza, penutupan pintu sempadan juga dilakukan di Karm Abu Salem dan Erez yang menghubungkan Gaza dengan Israel. - BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #bekalan perubatan #WHO #lintasan Rafah
;