Tiada apa yang boleh mewajarkan kesengsaraan orang awam di Gaza - Presiden Perancis

Astro Awani
Oktober 24, 2023 06:30 MYT
Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam pertemuan di Ramallah, Tebing Barat, pada Selasa. - Foto AP
RAMALLAH: Presiden Perancis menyatakan pendirian beliau kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di sebalik perang yang berlaku, tiada apa yang boleh mewajarkan kesengsaraan yang sedang dilalui orang awam di Semenanjung Gaza.
Dalam masa sama, Emmanuel Macron memanjangkan sokongan beliau kepada rakyat Palestin, namun menegaskan, rakyat negara itu “tidak diwakili oleh Hamas.”
“Kehidupan orang awam adalah bersamaan antara satu sama lain, tanpa mengira kewarganegaraan mereka.
"Kehidupan rakyat Palestin sama pentingnya dengan kehidupan rakyat Perancis, demikian juga dengan kehidupan rakyat Israel,” kata Macron di samping Abbas semasa pertemuan dua pemimpin itu di Ramallah, Tebing Barat, pada Selasa.
Pemimpin Perancis itu juga memberitahu, tiada apa atau di mana-mana saja keganasan pengganas boleh diwajarkan berlaku iaitu merujuk pada serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu seraya mengulangi sikap Perancis mahu melihat penyelesaian perdamaian antara dua negara konflik itu dicapai.
"Usaha yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan akan kekal sebagai ilusi selagi perdamaian yang adil tidak dicapai," kata Macron.
Abbas terus mendesak agar gencatan senjata dilakukan dalam usaha menghalang “kegilaan Israel” dan menyeru Macron untuk mencari jalan mencapai penyelesaian melalui rangkaian politik antarabangsa.
Pada hari sama, Macron mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi mencapai sokongan kepada negara itu dan menggesa seluruh gabungan antarabangsa mengecam tindakan dilakukan Hamas..
#Perang Palestin-Israel #Presiden Perancis #presiden Palestin #israel serang gaza
;