Tiada amaran awal kerana tiada alat pengesan tsunami berpunca gunung berapi

Najib Aroff
Disember 23, 2018 12:07 MYT
Beberapa kenderaan turut mengalami kerosakan akibat kejadian tsunami di Carita, Indonesia, 23 Dis, 2018. (Foto AP)
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengakui pihaknya tidak mempunyai sistem amaran awal mengenai tsunami yang berpunca dari gunung berapi di kawasan Selat Sunda.
Menurut laporan Detiknews, BMKG hanya memasang alat pengesan tsunami yang berpunca dari pergerakan plat tektonik di kawasan berkenaan.
“Alat amaran awal tsunami milik kami adalah untuk mengesan tsunami berpunca dari pergerakan plat tektonik dan bukannya akibat gunung berapi.
"Oleh sebab itu, tiada amaran awal,” kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Rahmat Triyono.
Beliau berkata, kejadian itu juga gagal dikesan kerana ia berlaku pada waktu malam dengan jarak penglihatan yang terhad.
Menurut Rahmat, dianggarkan ombak setinggi 90cm sehingga 1 meter membadai bandar Anyer, di wilayah Banten, dalam kejadian jam 9.27 malam waktu tempatan itu.
BMKG juga pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini berkaitan potensi gelombang tinggi di Selat Sunda bermula 21 Disember hingga 25 Disember 2018.
“Kami merekodkan gegaran di Pulau Sertung dan Cigelis pada jam 9.03 minit waktu tempatan yang memberi gambaran akan wujudkan aktiviti gunung berapi.”
#amaran awal #Anyer #Banten #BMKG #gempa bumi #gunung berapi #Indonesia #Pray for Indonesia #Rahmat Triyono #Selat Sunda #tektonik #tsunami
;