Tiada akses rawatan, pesakit kanser di Gaza rayu bantuan segera
Bernama
Januari 29, 2024 14:44 MYT
Januari 29, 2024 14:44 MYT
RAFAH: Masalah mendapatkan rawatan dan kekurangan ubat-ubatan terus membelenggu penduduk Palestin terutama di Gaza, semenjak konflik Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Seorang pelarian Palestin, Hani Khalil Naeem, 52, yang juga pesakit kanser berkata sebelum ini beliau menerima rawatan di beberapa hospital antaranya Hospital Al-Mutala' di Baitulmaqdis dan Hospital Istishari di Ramallah, namun kini nyawanya terancam akibat pemberhentian rawatan itu.
"Sepatutnya saya menjalani rawatan pada 20 Nov lalu, tetapi tentera Israel telah menghalang pergerakan antara Semenanjung Gaza dan Tebing Barat ke atas penduduk Palestin menyebabkan saya terputus akses kepada rawatan rutin.
"Akibat tiada ubatan dan akses rawatan di Gaza, saya dan puluhan ribu lagi rakyat Palestin yang sedia sakit terpaksa terus menderita, ditambah pula sekatan perjalanan yang dikenakan tentera Israel ke atas penduduk Palestin sejak 7 Okt tahun lalu," katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Beliau yang kini berlindung di sebuah sekolah di Rafah juga menjelaskan persekitaran pusat perlindungan yang sesak dan kotor turut menyebabkan keadaan kesihatannya semakin merosot.
"Nyawa kami terancam. Bukan sahaja oleh Zionist Israel tapi kelewatan mendapat rawatan atau lebih parah tiada akses langsung kepada rawatan dan ubatan. Keadaan persekitaran yang tidak bersih di pusat perlindungan ini juga menyumbang ke arah itu.
"Imuniti saya semakin lemah. Tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan. Sebarang masalah kesihatan akan menjadi ancaman kepada hidup saya," katanya.
Pada masa sama, beliau memberitahu telah pun membuat permohonan untuk mendapatkan rawatan di luar negara sama ada di Turki, Mesir atau mana-mana negara lain, tetapi semua itu tetap memerlukan kelulusan dari pihak tentera Israel.
Bagi Ramez yang kehilangan abangnya yang juga pesakit kanser, mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila semua akses keluar masuk ditentukan Israel sejak sebelum bermulanya konflik lagi.
Lebih memburukkan keadaan apabila selepas konflik, pihak tentera Isreal seolah sengaja menangguh dan melambatkan proses kelulusan kebenaran melintas.
"Abang saya meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan lanjut," katanya.
Abangnya Taha Oqasha,58, bapa kepada empat cahaya mata, hanya sempat mengambil tiga dos suntikan untuk penyakitnya di Hospital Turki di zon tengah Semenanjung Gaza sebelum melarikan diri bersama keluarga ke Rafah pada awal konflik itu berlaku.
Menurut sumber dari Agensi Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), terdapat kira-kira 64,000 orang yang cedera dalam peperangan memerlukan rawatan sama ada di wilayah utara Palestin atau di luar negara.
-- BERNAMA