Theresa May bakal ke Istana Buckingham, mohon perkenan bentuk kerajaan

Agensi
Jun 9, 2017 18:20 MYT
May membuat perjanjian dengan Parti Kesatuan Demokratuk (DUP) untuk membentuk gabungan kerjasama majoriti kecil. - Reuters
Theresa May akan mengadap baginda Ratu di Istana Buckingham pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan untuk memohon perkenan membentuk kerajaan, ujar jurucakap Downing Street.
May telah membuat perjanjian dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP) untuk membentuk gabungan kerjasama majoriti kecil, lapor media tempatan.
Difahamkan, setakat ini tiada sebarang perjanjian gabungan yang rasmi.
Ia berikutan desakan agar May meletakkan jawatan selepas hasil pilihan raya yang teruk bagi Konservatif, dengan kehilangan empat kerusi untuk selesa sebagai majoriti, termasuk satu lagi kerusi untuk diumumkan keputusan.
Sokongan terhadap DUP telah meningkat, dengan parti tersebut menambah bilangan kerusi daripada 8 hingga 10.
Parti berkenaan akan menerima pelbagai permintaan daripada pihak Konservatif sebagai syarat pertukaran sokongan. Antaranya adalah jaminan bahawa Ireland tidak diberikan status istimewa selepas Brexit.
Nigel Dodds, yang mempertahankan kerusi North Belfast, berkata DUP akan menegaskan tidak akan ada sebarang perjanjian berasingan untuk Ireland. DUP dalam referendum lalu, menyatakan pendirian menyokong Brexit.
Bantahan DUP terhadap status istimewa Ireland, seperti yang menjadi permintaan utama Sinn Fein, adalah kerana kebimbangan ia akan memisahkan Ireland daripada seluruh jajahan United Kingdom.
Sinn Fein adalah parti politik Republikan yang berpengaruh di seluruh Ireland, dari Republik Ireland hingga ke Ireland Utara.
Sementara itu pemimpin Parti Buruh Jeremy Corbyn, yang mendesak May untuk meletakkan jawatan, mempunyai kaitan dengan Sinn Fein yang diketahui umum.
#Brexit #British #Jeremy Corbyn #kerajaan #pilihan raya #Referendum #Theresa May #United Kingdom
;