Thaksin Shinawatra dijangka pulang ke Thailand 10 Ogos
Agensi
Julai 26, 2023 14:15 MYT
Julai 26, 2023 14:15 MYT
BANGKOK: Selepas hidup dalam buangan selama 17 tahun, bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dilaporkan merancang kembali ke negaranya pada 10 Ogos depan.
Memetik CNA, anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra memaklumkan dalam satu hantaran di media sosial, mengenai berita kepulangan bapanya pada Rabu.
"Sayangnya, saya tidak begitu percaya dengan apa yang saya tulis ini, ayah akan pulang pada 10 Ogos di Lapangan Terbang Don Muang," katanya.
Thaksin dilahirkan pada 26 Julai 1949. Beliau berusia 74 tahun pada hari lahirnya yang jatuh pada hari ini.
Thaksin dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 selepas dituduh terbabit dalam rasuah dan tidak menghormati sistem beraja negara itu.
Beliau kini tinggal dalam pengasingan secara sukarela selepas melarikan diri dari Thailand untuk mengelak daripada hukuman penjara di atas kes rasuah pada tahun 2008.
Parti Pheu Thai yang disokong oleh Thaksin kini sedang berusaha untuk membentuk kerajaan di Thailand, selepas menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum pada 14 Mei.
Parti pemenang pilihan raya, Parti Move Forward, telah menyatakan bahawa mereka akan membenarkan Pheu Thai memimpin pembentukan kerajaan selepas calon perdana menteri mereka, Pita Limjaroenrat, gagal memperoleh sokongan daripada parlimen untuk jawatan teratas.