Thaksin buat penampilan umum pertama sejak dibebaskan dari penjara
Astro Awani
Mac 15, 2024 08:00 MYT
Mac 15, 2024 08:00 MYT
CHIANG MAI: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra melawat kampung halamannya di utara negara itu ketika membuat penampilan umum pertamanya sejak dibebaskan awal daripada hukuman penjara kerana rasuah dan salah guna kuasa.
Jutawan kontroversi yang dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, berkunjung ke Kuil Bangkok City Pillar sebelum terbang dengan jet peribadi untuk lawatan tiga hari ke Chiang Mai.
Selepas mendarat di Chiang Mai, yang juga bandar kelahiran dan pangkalan kuasa politik tradisionalnya, kira-kira pukul 9.40 pagi (waktu tempatan), Thaksin disambut oleh keluarganya sebelum menuju ke taman bertemu penyokongnya.
Menurut para penyokongnya, mereka menunggu pemimpin itu sejak lebih 17 tahun lalu dan sangat teruja selepas dapat berjumpanya.
Terdahulu, ramai media berkhemah di hadapan Kuil Bangkok di mana Thaksin tiba untuk berdoa sekitar pukul 5 pagi.
Beliau ditemani anak perempuannya Paetongtarn yang kini merupakan ketua Parti Pheu Thai bersama suaminya.
Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada Ogos tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan dan serta-merta dipenjarakan selama lapan tahun atas pertuduhan ketika zaman beliau berkuasa.
Bagaimanapun, hukumannya dikurangkan selama setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn dan pada bulan lalu kerajaan memutuskan Thaksin layak dibebaskan awal kerana usia dan tahap kesihatannya.