Thailand yakin rundingan damai akan tamatkan konflik di selatan

Bernama
Januari 15, 2022 04:28 MYT
Ketua delegasi BRN ke rundingan damai kali ketiga antara BRN dan kerajaan Thailand, Anas Abdulrahman (tengah), bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, 13 Jan 2022. - Gambar fail BERNAMA
PHUKET: Thailand kekal komited untuk mencari penyelesaian berkekalan untuk menamatkan konflik di wilayah selatan negara itu dan menjangkakan perkembangan positif dalam tempoh dua tahun akan datang.
Rundingan bersemuka di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Januari baru-baru ini selepas hampir dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19 berjalan lancar dengan kedua-dua pihak menunjukkan "sikap mesra", menurut wakil kerajaan Thailand, yang juga ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh.
Turut terlibat dalam rundingan itu adalah kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dengan bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator.
Dalam satu sidang media di sini, semalam, Wanlop menjelaskan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat rundingan damai setiap dua hingga tiga bulan namun ia bergantung kepada situasi COVID-19.
"Kami juga setuju penyertaan daripada semua sektor dan pihak berkaitan agar dapat mencari penyelesaian secara damai dan menamatkan konflik di wilayah selatan Thailand," katanya.
BACA: Thailand sangkal penyerahan pemberontak ada kaitan dengan rundingan damai di Malaysia
Wanlop berkata sejak perbincangan pertama dengan BRN pada tahun 2019, kedua-dua pihak kini menunjukkan kepercayaan yang lebih tinggi.
"Perbincangan kali ini telah mencapai kemajuan yang sangat baik dan dijangka membawa kepada perumusan topik. Ini adalah langkah penting dalam proses perbincangan
"Akan terdapat kemajuan yang lebih konkrit khususnya dalam usaha mengurangkan keganasan," katanya.
Dalam rundingan damai kali ketiga antara BRN dan kerajaan Thailand yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur, kedua-dua pihak bersetuju dengan tiga prinsip yang akan menjadi perkara utama dalam mesyuarat rundingan damai akan datang iaitu; pengurangan tindakan kekerasan kedua-dua belah pihak, konsultasi awam dan solusi politik.
-- BERNAMA
#Thailand #rundingan damai #BRN #Wanlop Rugsanaoh
;