Thailand umumkan langkah baharu tarik pekerja mahir

Bernama
Jun 4, 2024 06:10 MYT
Pada masa ini, Thailand telah meluluskan visa dan permit kerja untuk staf asing, termasuk mereka yang bekerja di bawah projek promosi pelaburan, LTR Visas dan Visa Pintar.
BANGKOK: Thailand mengumumkan langkah-langkah baharu pada Selasa yang bertujuan untuk memperkuatkan daya saing dan menarik pekerja asing berkemahiran tinggi sebagai sebahagian daripada peralihan kepada ekonomi baharu.
Jurucakap kerajaan Chai Watcharong berkata Perdana Menteri Srettha Thavisin komited untuk meningkatkan daya saing Thailand melalui langkah-langkah baharu yang bertujuan untuk memudah cara pemprosesan pelbagai jenis visa.
"Perdana Menteri memberi keutamaan kepada menarik pelaburan dan meningkatkan daya saing Thailand.
"Kami percaya bahawa memperbaiki dan menyesuaikan langkah-langkah secara berterusan selaras dengan keadaan semasa akan menjadi penting dalam menarik pekerja asing jangka panjang, merangsang pelaburan dalam industri-industri maju, masa depan dan sasaran untuk manfaat terbesar kepada Thailand," katanya dalam mesyuarat pasca kabinet di sini pada hari Selasa.
Dengan langkah-langkah baharu ini, beliau berkata Thailand menyasarkan untuk menarik tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pelabur, berjumlah kira-kira 56,000 orang melalui Pusat Perkhidmatan Sehenti bagi visa dan permit kerja.
Pada masa ini, Chai berkata Thailand telah meluluskan visa dan permit kerja untuk staf asing, termasuk mereka yang bekerja di bawah projek promosi pelaburan, Visa Penduduk Jangka Panjang (LTR Visas), dan Visa Pintar.
Beliau berkata Lembaga Pelaburan (BOI) telah bekerjasama dengan Biro Imigresen dan Kementerian Buruh untuk terus memudahkan pakar asing berkemahiran, pelabur, dan mereka yang ingin tinggal dan bekerja di Thailand.
"Data BOI menunjukkan bahawa pada masa ini, Thailand mempunyai lebih daripada 56,000 pekerja asing dengan visa dan permit kerja yang diluluskan," katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengurangkan kadar cukai pendapatan peribadi untuk pakar berkemahiran kepada 17 peratus dan memanjangkan tempoh pelaporan kepada Biro Imigresen dari setiap 90 hari kepada sekali setahun.
Chai berkata pada bulan lepas, Kabinet meluluskan visa jenis baharu - Visa Destinasi Thailand (DTV) - untuk orang asing berkemahiran yang bekerja secara dalam talian melalui kaedah digital, seperti pekerja dalam talian atau nomad digital.
"Visa ini bertujuan untuk menarik orang asing berkemahiran yang ingin bekerja dan melancong di Thailand, dan langkah ini selaras dengan trend gaya hidup semasa dan dilihat sebagai cara untuk menarik lebih banyak orang asing berpotensi tinggi untuk bekerja di Thailand," katanya.
-- BERNAMA
#pekerja asing #Thailand #pelaburan #Visa
;