Thailand umum darurat kekang protes mega
Reuters
Oktober 15, 2020 10:00 MYT
Oktober 15, 2020 10:00 MYT
BANGKOK: Kerajaan Thailand mengumumkan perintah darurat bagi mengekang protes mega di Bangkok.
Antara lain, perintah itu mengharamkan perhimpunan lebih empat orang.
Pengumuman yang disiarkan di televisyen itu dibacakan pihak polis.
Ia menyebut beberapa kumpulan bertindak mengundang dan menghasut selain menjalankan perhimpunan yang menyalahi undang-undang Thailand.
Perintah darurat itu berkuat kuasa pada pukul 4 pagi Khamis waktu tempatan.
Selain daripada larangan perhimpunan tidak lebih empat orang, perintah itu juga mengenakan larangan kepada semua media daripada menyiarkan berita yang berpotensi mengundang ketakutan serta menjejaskan kestabilan negara.
Sejak Rabu, penunjuk perasaan di Bangkok sekali lagi mencabar undang-undang ketat berhubung institusi raja Thailand.
Protes itu bermula sejak Julai dan digerakkan oleh pertubuhan belia, mahasiswa dan aktivis hak asasi manusia.
Mereka menuntut reformasi ke atas monarki dan mahu kerajaan pimpinan perdana menteri Prayuth Chan-o-cha meletak jawatan seterusnya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada proses demokrasi baharu.
#Penunjuk perasaan
#institusi diraja
#protes mega
#haramkan perhimpunan lebih empat orang
#bubar parlimen
#Thailand
#Bangkok