Thailand umum cuti dua hari di Bangkok dan Nonthaburi sempena Sidang Kemuncak Asean ke-35

Bernama
Oktober 15, 2019 02:34 MYT
Kabinet bersetuju meluluskan cuti itu dengan sasaran untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota dan memudahkan pergerakan para pemimpin negara berkenaan serta delegasi mereka semasa mesyuarat. - Gambar fail
Thailand mengumumkan dua hari cuti umum pada 4 dan 5 November ini di Bangkok dan Nonthaburi sempena Sidang Kemuncak Asean ke 35, dan Mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung Impact Muang Thong Thani, Bangkok.
Sebagai negara pengerusi Asean, Thailand akan menjadi tuan rumah kepada perhimpunan kumpulan pemimpin dari 10 negara anggota Asean, dan juga negara-negara rakan dialognya, ke sidang kemuncak dan mesyuarat berkaitan itu yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober sehingga 4 November.
Timbalan jurucakap Kerajaan Thailand, Traisuree Taisaranakul berkata kabinet bersetuju meluluskan cuti itu dengan sasaran untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota dan memudahkan pergerakan para pemimpin negara berkenaan serta delegasi mereka semasa mesyuarat.
"Agensi-agensi kerajaan di Bangkok dan Nanthaburi akan ditutup pada tarikh-tarikh ini. Bagaimanapun syarikat-syarikat kerajaan, bank-bank komersial serta syarikat swasta akan memutuskan soal cuti itu kemudian nanti, sama ada untuk menutup, atau menangguhkan cuti umumnya, bagi mengelak sebarang gangguan dalam perkhidmatan mereka," katanya dalam satu persidangan media pada Selasa.
Sementara itu jurucakap kerajaan, Narumon Pinyosinwat berkata Perdana Menteri India Narendra Modi mengesahkan akan hadir di Sidang Kemuncak Asean itu nanti.
Beliau berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Keqiang masih belum mengesahkan kehadiran.
-- BERNAMA
#Bangkok #cuti umum #Donald Trump #Impact Muang Thong Thani #Li Keqiang #Narumon Pinyosinwat #Sidang Kemuncak ASEAN #Thailand #Traisuree Taisaranakul
;